Calon BN Sabah 'tatap' menang - Abdul Rahman Dahlan

SEPANGGAR, 21 April (Bernama) -- Calon-calon Barisan Nasional (BN) di Sabah bukan sahaja boleh menang tetapi akan menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang, kata Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Beliau berkata di negeri ini, ramai pemimpin yang telah lama menjadi wakil rakyat dan masih diterima rakyat yang akan memastikan kemenangan untuk BN.
"Kita tidak boleh menafikannya (wakil rakyat veteran yang masih diterima rakyat). Kita tidak boleh mengorbankan wakil rakyat yang memang mempunyai perkhidmatan yang baik."
"Katakanlah sesuatu kawasan itu boleh lagi diwakili oleh pemimpin berkenaan dan beliau juga mempunyai penilaian tinggi oleh rakyat. Apa asasnya untuk mengecualikannya (daripada dicalonkan)?" katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Pendidikan Bumiputera 2018 anjuran Yayasan Destini Anak Bangsa di sini hari ini.
Ketika ditanya mengenai senarai calon BN di Sabah, Abdul Rahman yang juga Setiausaha BN Negeri, berkata beliau difahamkan senarai calon itu sudah 99 peratus diputuskan.
Beliau berkata maklumat penuh mengenai senarai itu hanya boleh diumumkan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman selaku Pengerusi BN Negeri.
-- BERNAMA