Pengundi Jerai teruja dengan projek pembangunan bawa ke arah kemajuan

Oleh Nurrul Huda Ahmad Lutfi
YAN, 21 April (Bernama) -- Dalam tempoh lima tahun sejak pilihan raya umum (PRU) 2013, kawasan Parlimen Jerai yang diwakili Barisan Nasional (BN) menyaksikan kemajuan yang bukan sedikit dengan pelbagai projek pembangunan dilaksanakan bagi menaikkan imej daerah itu.
Antaranya ialah projek jalan sambungan dari Lebuhraya Utara-Selatan di Gurun ke Pulau Bunting bernilai RM226 juta yang sedang dibina serta pembinaan Masjid Terapung Jerai di Pantai Murni di sini.
Dalam satu tinjauan baru-baru ini, rata-rata penduduk yang ditemui Bernama menyatakan rasa teruja mereka terhadap pembangunan yang pesat di kawasan itu khususnya masjid terapung bernilai RM18 juta tersebut yang dijangka menjadikan kawasan Pantai Murni destinasi pelancongan popular.
Seorang penduduk, Mohd Azwan Jamaludin, 30, berkata dia percaya masjid tersebut dapat membantu menjana ekonomi penduduk setempat terutama dalam sektor industri desa berasaskan perikanan.
"Alhamdulillah...satu perkembangan yang amat baik dan positif untuk perkembangan ekonomi Parlimen Jerai terutama aspek agropelancongan di kawasan Yan terutama Pantai Murni, (dengan ini) rakyat Jerai sangat teruja,\" kata penjawat awam tersebut."
Mengenai projek jalan sambungan itu, Mohd Azwan berkata berdasarkan pemerhatiannya sebagai penduduk setempat, projek tersebut akan memperluas kemakmuran ekonomi penduduk di daerah berkenaan sehingga ke Sungai Limau dan Guar Chempedak dekat sini selain meningkatkan kedatangan pelancong ke pusat peranginan Gunung Jerai.
Ini katanya secara tidak langsung menarik perhatian pelabur ke daerah itu.
Pendapat sama turut disuarakan Shahlina Sejali, 30, yang berpandangan masjid terapung tersebut bakal membuka peluang perniagaan kepada penduduk setempat.
Bagaimanapun dia yang bekerja di sektor awam berharap kemudahan lain seperti resort atau chalet turut dibangunkan di kawasan Pantai Murni bagi merancakkan lagi sektor pelancongan.
Sementara itu, peniaga dalam talian Nur Farhana Ahmad Tajuddin, 29, berkata masjid terapung tersebut berpotensi menjadi antara ikon Kedah sekali gus meningkatkan lagi imej positif negeri di mata rakyat.
"Bagi saya pembangunan yang mereka (kerajaan) lakukan ini bukan sahaja membantu rakyat setempat tetapi juga dapat menyumbang kepada pendapatan negeri menerusi sektor pelancongan," katanya.
Bagi pekerja swasta Nur Syazwana Mansor, 28, kawasan Parlimen Jerai yang merangkumi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Sungai Limau, Gurun dan Guar Chempedak mengalami pembangunan ketara sejak beberapa tahun lepas.
Malah katanya daerah itu semakin dikenali sebagai daerah pelancongan melalui naik taraf beberapa infrastruktur termasuk pembinaan masjid terapung itu selain tarikan Pantai Murni Waterfront dan Titi Hayun.
Dalam pada itu, pesara kerajaan Masriyah Mansor, 57, pula berkata pembangunan paling menarik perhatiannya ialah projek masjid terapung tersebut yang dianggapnya sebahagian usaha memartabatkan syiar serta kesenian Islam di daerah berkenaan.
-- BERNAMA