ECRL tertangguh jika pembangkang menang pilihan raya - HSBC

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Kemenangan pembangkang dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan menyebabkan penangguhan kepada projek-projek infrastruktur besar-besaran seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kata Kumpulan HSBC.
Ini adalah berdasarkan kepada manifesto pembangkang sendiri, yang berjanji untuk mengkaji semula projek-projek mega, khususnya yang dibiayai oleh China, yang dianggarkan bernilai US$38 bilion (US$ 1 = RM3.89), kata kumpulan itu dalam laporannya, Global Research.
Selain kelewatan dalam beberapa projek infrastruktur berskala besar, gergasi perkhidmatan kewangan itu juga menegaskan langkah tersebut boleh memberi kesan ke atas unjuran pelaburan jangka pendek yang seterusnya, akan menjejaskan pelaburan swasta.
Pelaburan Langsung Asing (FDI) China sekarang merangkumi hampir separuh jumlah FDI ke Malaysia.
Antara lima projek China yang paling utama di Malaysia berada di bawah inisiatif Satu Jalur Satu Laluan seperti ECRL (US$13 bilion), Melaka Gateway (US$10.8 bilion), Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China di Pahang (US$3.8 bilion), Bandar Robotik Masa Depan di Johor (US$3.5 bilion) dan sebuah kilang keluli di Sarawak (US$3.3 bilion).
HSBC berkata manifesto pembangkang tidak menggambarkan pelan bajet yang seimbang, malahan ia akan mewujudkan defisit fiskal lebih tinggi dalam jangka pendek jika manifesto mereka direalisasikan dalam 100 hari pertama selepas mengambil alih.
"Dalam kajian sebelum ini, kami ada menyatakan bahawa prospek pelaburan negara semakin dipacu oleh infrastruktur yang dibiayai pihak luar dan projek pelaburan lain, sebahagiannya disebabkan oleh kekangan fiskal yang dihadapi oleh kerajaan," katanya.
Ia menyatakan bahawa kerajaan Barisan Nasional telah mencapai kemajuan dalam mengurangkan defisit bajet daripada 6.4 peratus keluaran dalam negara kasar pada 2009 kepada 2.8 peratus yang diramalkan pada 2018.
Ini adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk mencapai keseimbangan belanjawan, walaupun ia mungkin mengalami kelewatan selama beberapa tahun daripada sasaran awal iaitu menjelang 2020, katanya.
-- BERNAMA