Manifesto golongan muda bukti belia dapat tempat di hati pemimpin





MELAKA, 21 April (Bernama) -- Manifesto golongan muda yang dilancarkan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin pada 10 April lepas sempena pilihan raya umum ke-14 (PRU14) menunjukkan golongan belia sentiasa mendapat tempat di hati kepemimpinan parti.

Golongan belia terutamanya graduan yang bakal menamatkan pengajian menyambut baik manifesto berkenaan kerana ia disifatkan bukti keprihatinan kerajaan terhadap golongan belia yang merupakan penentu masa depan negara.

Seorang penuntut Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah dekat sini, Farah Nabilah Rosli, 21, berkata antara perkara yang menarik perhatiannya adalah pinjaman tanpa sebarang kerenah birokrasi menerusi portal Youth Entrepreneurial Network (YEN) dalam usaha memudahkan usahawan muda.

"Portal ini bakal menjadi pendekatan dan pemudah cara dengan menawarkan peluang-peluang yang ada di bawah agensi kerajaan.

"Selain bantuan kewangan, penyediaan kursus dan latihan praktikal juga dapat membantu membangunkan nilai profesionalisme dalam kalangan graduan yang berminat menceburi bidang keusahawanan apabila tamat pengajian kelak," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada program Fit Malaysia peringkat Melaka yang dihadiri Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan di Padang Awam Taman Seri Telok Mas, di sini hari ini.

Manifesto golongan muda yang dikenali Jaminan Orang Muda menggariskan lapan jaminan antaranya peluang pekerjaan dan latihan, meningkatkan pendapatan dan kemahiran, memperkasa ekonomi belia luar bandar, memudahkan usahawan muda mendapat bantuan dan meringankan beban keluarga muda.

Pemuda BN turut berjanji untuk menyediakan kehidupan berkualiti, memastikan peluang untuk segenap segmen dan mengangkat idea generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Farah Nabilah, anak kedua daripada tiga beradik dari Klebang di sini berkata manifesto tersebut secara tidak langsung membolehkannya mencapai cita-cita untuk membuka sebuah kedai kek setanding di pasaran dengan mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang dimiliki dalam jurusan bakeri.

Bagi seorang penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka dekat sini Azwan Syazwan Sepuan, 22, berkata manifesto itu menarik tumpuannya berikutan menawarkan penyelesaian masalah gaji dan pendapatan orang muda yang disifatkan tidak berubah walaupun sudah lama bekerja khususnya di sektor swasta melalui rundingan paras gaji di sektor berkenaan.

"Sebagai bakal graduan, manifesto ini membuat saya menarik nafas lega memandangkan ekonomi pada masa kini semakin mencabar dengan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Bagaimanapun, saya berharap agar lebih banyak ruang dan peluang diberikan kepada pekerja tempatan memandangkan kebanyakan syarikat yang kukuh dilihat lebih didominasi oleh warga asing," katanya yang berasal dari Kuching, Sarawak.

Seorang lagi penuntut dari Universiti Teknologi Mara Jasin, Nur Affiqah Abdul Latif, 22, berkata dilema sukar memperoleh pekerjaan selepas menamatkan pengajian sering membuatkan mereka khuatir namun dengan jaminan manifesto itu mewujudkan banyak peluang pekerjaan, mereka berasa lebih yakin dalam usaha memulakan langkah.

"Sebagai bakal graduan, saya selalu memikirkan kemungkinan terpaksa bersaing merebut peluang pekerjaan bagi meneruskan kelangsungan hidup lebih-lebih lagi dalam perkembangan pesat teknologi masa kini.

"Tawaran peluang pekerjaan itu dapat mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan. Justeru, saya berasa gembira memandangkan pucuk kepimpinan BN mengambil berat perkara ini dan tidak meminggirkan graduan yang sering berdepan isu 'tanam anggur' selepas tamat pengajian," katanya yang berasal dari Kampar, Perak.

-- BERNAMA