Senarai calon BN Melaka PRU14 diumum Isnin

MELAKA, 21 April (Bernama) -- Senarai calon Barisan Nasional (BN) negeri Melaka bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dijangka diumumkan pada Isnin di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini.
Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata senarai calon untuk negeri ini telah siap dan pengumuman tersebut dijangka dibuat kira-kira 10 pagi, 23 April ini.
"Kita tunggulah nanti keputusannya apabila nama calon diumumkan dan mungkin ada muka baharu yang akan disenaraikan sebagai calon PRU14 ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Briged Gempur Melaka di Stadium Hang Jebat di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang juga Pengerusi Pemuda BN.
Mengenai muka baharu, Idris berkata jumlah calon berkenaan mungkin lebih daripada enam orang kerana pihaknya menjangkakan antara 30 hingga 40 peratus calon muka baharu akan terpilih sebagai calon untuk PRU14.
Beliau berkata bagaimanapun jangkaan itu hanya perancangan kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam politik.
"Apa pun keputusannya (senarai calon) kita terima kerana kita tahu ia telah dilakukan setelah pelbagai aspek dipertimbangkan sebaik mungkin," katanya.
Melaka mempunyai 28 kawasan DUN dan enam Parlimen.
Pada pilihan raya umum lepas, BN membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 21 kerusi DUN, manakala DAP enam kerusi dan PAS satu kerusi.
Sementara itu, katanya peranan golongan muda masih relevan dalam apa juga perkembangan negara pada masa kini kerana golongan berkenaan diperlukan dalam menggerakkan pelbagai agenda negara secara efektif.
"Orang muda bukan sahaja menjadi golongan penggesa tetapi pada hari ini mereka juga adalah golongan yang membuat keputusan dan melaksanakannya," tegas beliau.
-- BERNAMA