Manifesto BN inklusif, beri manfaat kepada rakyat - anggota komponen





SEREMBAN, 21 April (Bernama) -- Manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang dilancarkan oleh Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini dilihat bersifat inklusif dan memberi banyak manfaat kepada rakyat.

Timbalan Ketua UMNO Kuala Pilah Datuk Adnan Abu Hassan berkata manifesto kali ini mencakupi semua keperluan masyarakat pelbagai lapisan umur.

"Jadi tidak akan ada golongan yang terpinggir sekiranya BN memerintah lagi selepas ini kerana melalui manifesto tersebut telah memberikan keyakinan kepada semua pengundi dan rakyat bahawa kebajikan mereka sentiasa dijaga," katanya kepada Bernama selepas pelancaran Manifesto BN Negeri Sembilan di sini.

Ketua Wanita MIC Jempol KS Mahaswary pula berkata manifesto BN menawarkan manfaat pada semua kelompok termasuk bayi yang menunjukkan keprihatinan parti berkenaan terhadap rakyat.

Anggota Jawatankuasa Wanita UMNO Rasah Maimoon Hassan berkata tawaran BN dalam manifesto yang antaranya bantuan khas untuk kemasukan ke pengajian tinggi amat baik kerana ia dapat membantu anak-anak mencapai kejayaan cemerlang.

"Banyak kebaikan yang kerajaan sediakan jadi kalau boleh pemimpin yang ada sebelum ini dapat terus memerintah negeri ini, jika tukar orang lain saya tidak pasti mereka akan sebaik ini dalam keprihatinan beliau terhadap masyarakat di sini," katanya.

Manifesto BN Negeri Sembilan bagi pilihan raya umum ke-14 yang dilancarkan hari ini menggariskan dua teras utama dengan 18 inisiatif berpaksikan tema 'Bukti, Bukan Sekadar Janji.'

-- BERNAMA