Jelajah Pendidikan Bumiputera 2018 bukti BN serius pendidikan rakyat





SEPANGGAR, 21 April (Bernama) -- Penganjuran Jelajah Pendidikan Bumiputera 2018 anjuran Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB) membuktikan keseriusan Barisan Nasional (BN) membangunkan pendidikan dalam kalangan rakyat khususnya di luar bandar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata program itu yang diaspirasikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperlihatkan komitmen kerajaan dalam mengambil langkah proaktif untuk memastikan masa depan rakyat terbela dan terjamin.

"Program jelajah ini adalah usaha Perdana Menteri untuk memberi peluang kedua atau ketiga kepada anak-anak khususnya di luar bandar yang tidak dapat masuk institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut kemahiran sebelum ini."

"Oleh itu, perdana menteri mengarahkan YDAB dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Program itu Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar untuk membawa pihak universiti mencari pelajar terutamanya di luar bandar kerana biasanya mereka menghadapi banyak kekangan dan cabaran untuk melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman merasmikan program itu di peringkat Parlimen Sepanggar di sini, hari ini.

Abdul Rahman juga berkata pelajar yang dipilih melanjutkan pengajian menerusi program jelajah itu juga akan diberikan bantuan kewangan sebanyak RM1,500 seorang oleh Yayasan Bank Rakyat sebagai persiapan memasuki IPTA.

Terdahulu, Sahol Hamid berkata rakyat semakin sedar akan kepentingan mendapatkan pendidikan bagi pembangunan diri.

Menurutnya program itu akan menjelajah ke 29 lokasi melibatkan 92 kawasan Parlimen di seluruh negara dengan menyasarkan lebih 70,000 pelajar Bumiputera.

Di Sabah, program itu akan diadakan di Keningau esok (22 April), Kota Marudu (23 April ) dan Kinabatangan pada 25 April 2018 sebelum ke Sarawak pada 27 April ini.

-- BERNAMA