Senarai calon BN Perlis diumumkan selewat-lewatnya Rabu ini

ARAU, 21 April (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim akan mengumumkan senarai calon BN Perlis bagi pilihan raya umum ke-14 selewat-lewatnya Rabu ini.
Selain itu, Shahidan berkata BN Perlis juga akan melancarkan manifesto yang lebih khusus untuk rakyat Perlis pada Selasa ini di Kangar.
Katanya selain sembilan projek bernilai RM410 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa melawat Perlis awal tahun ini, manifesto itu turut menggariskan pelaksanaan semula laluan bebas Wang Kelian, pembangunan Kuala Perlis dan pekan baharu Kuala Sanglang serta sebuah lagi universiti di Arau.
Shahidan, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan khas kepada pesawah dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Wilayah 1 di sini, hari ini.
Pada majlis itu, 600 petani menerima bantuan sebanyak RM600 bagi tiga bulan manakala 1,000 orang lagi diberi benih kelapa mataq.
-- BERNAMA