Ranting PBB sedia bantu BN rampas parlimen Sibu




Sumber gambar: en wikipedia.org

SIBU, 21 April (Bernama) -- Bilik gerakan pilihan raya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Kampung Datu Baru kini sudah siap sedia untuk digerakan bagi membantu Barisan Nasional (BN) merampas kerusi Parlimen Sibu daripada pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Setiausaha PBB Ranting Kampung Datu Baru, Hamdan Jaiee berkata, seramai 95 petugas telah dilantik bagi melicinkan operasi bilik gerakan itu dan sebanyak 10 unit kenderaan disediakan untuk mengangkut pengundi.

Menurutnya, sebaik sahaja selesai proses penamaan calon, para petugas akan membuat semakan senarai pengundi dan akan pergi dari rumah ke rumah untuk menemui dan mengenal pasti mereka.

Katanya petugas juga akan melihat jika terdapat pengundi yang memerlukan kerusi roda atau kereta untuk ke pusat pembuangan undi dan akan merekodkannya supaya pihak bilik gerakan dapat memberi bantuan.

"Mereka juga diingatkan supaya memastikan semua pengundi yang telah dikenalpasti turun mengundi dan memberi bantuan sebaik mungkin supaya pengundi dapat mengundi dengan mudah dan selesa," katanya kepada Bernama selepas mesyuarat persiapan PBB Ranting Kampung Datu Baru di sini.

BN Sarawak kini berusaha untuk merampaskan kerusi Sibu serta tiga lagi kerusi parlimen iaitu Stampin, Sarikei, dan Miri yang telah jatuh ke tangan parti pembangkang pada PRU13 yang lepas.

-- BERNAMA