PAS bertanding lima kerusi di Sarawak pada PRU14




KUCHING, 21 April (Bernama) -- PAS hari ini mengumumkan nama lima calon yang akan bertanding di Sarawak pada pilihan raya umum ke-14, dan yakin akan menang sekurang-kurangnya satu kerusi.

Calon PAS bagi lima kerusi berkenaan ialah Hamdan Sani di Petra Jaya, Zulkipli Ramzi (Kota Samarahan), Asan Singkro (Batang Sadong), Wan Abdillah Wan Ahmad (Batang Lupar) dan Zulaihi Bakar (Sebuti).

Anggota Jawatankuasa PAS Pusat merangkap Setiausaha PAS Negeri Sarawak Muhtar Suhaili mengumumkan nama calon berkenaan pada majlis pengisytiharan calon PRU14 PAS Sarawak di sini hari ini, yang turut dihadiri Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas majlis pengumuman itu, Abdul Hadi berkata PAS akan bertanding bagi 160 kerusi Parlimen di seluruh negara.

Ditanya mengapa PAS hanya bertanding lima kerusi di Sarawak, beliau menjelaskan bahawa parti itu sudah mempunyai penyokong yang asas bagi kawasan pilihan raya berkenaan.

Mengenai isu yang akan dibawa PAS dalam kempen pilihan raya kali ini, Abdul Hadi berkata parti itu akan menyentuh tentang cukai dan zakat serta memperjuangkan royalti minyak yang lebih tinggi daripada kerajaan persekutuan.

-- BERNAMA