Kelab Sahabat N87 sokong BN menangi PRU14





TANAH MERAH, 21 April (Bernama) -- Kira-kira 160, 000 pengundi yang dikenal pasti oleh Kelab Sahabat N87 Kelantan bersedia menyumbang kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) negeri ini pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei nanti.

Pengerusi kelab itu Datuk Kamarudin Abdullah berkata pihaknya sudah melakukan gerak kerja membabitkan 2,500 anggotanya bagi membantu kemenangan BN di negeri ini.

"160,000 pengundi itu terdiri daripada tiga kategori iaitu anggota keluarga, jiran dan sahabat kepada anggota kelab itu," katanya selepas majlis pelancaran jentera PRU14 kelab itu oleh Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz di sini, hari ini.

Kamarudin berkata kelab itu juga akan memberi sokongan penuh kepada kesemua calon BN yang dipilih untuk bertanding pada PRU14.

"Kita tidak usah buat persepsi terhadap mana-mana calon yang akan bertanding, sebaliknya kita bersama-sama berjuang untuk memastikan BN menang dan kembali mentadbir negeri Kelantan," katanya.

-- BERNAMA