Manifesto BN Kedah tawar manfaat menyeluruh untuk rakyat





SIK, 21 April (Bernama) -- Manifesto Barisan Nasional (BN) Kedah disifatkan satu pakej menyeluruh yang manfaatnya merangkumi semua lapisan rakyat sama ada di bandar mahupun di luar bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Kedah Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata manifesto itu juga melengkapi manifesto yang diumumkan di peringkat pusat sebelum ini.

"Rakyat sudah nampak bukti, prestasi dan rekod BN di bawah pimpinan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, banyak perubahan malah Kedah kini sedang membangun, rugilah jika rakyat tidak memberi mandat sekali lagi untuk kita teruskan pembangunan yang sedang dan bakal dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Tuisyen Rakyat@KKLW Peringkat Parlimen Sik di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lapan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Tajudin yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik menyifatkan janji Pakatan Harapan untuk menyelesaikan masalah bekalan air dalam tempoh 100 hari jika menang pilihan raya umum ke-14 sebagai janji kosong.

Ini kerana katanya Datuk Seri Mukhriz Dr Mahathir gagal berbuat demikian semasa meneraju Kedah sebelum ini.

"Tetapi dia (Mukhriz) sendiri tidak ada persefahaman dengan pemimpin peringkat pusat, sebaliknya apabila bertukar menteri besar, banyak perubahan yang telah dibuat untuk menangani masalah gangguan bekalan air," katanya.

Sementara itu, seramai 102 murid Tahun Enam dari empat buah sekolah di daerah Sik iaitu SK Batu Lapan, SK Sik, SK Hujung Bandar dan SK Batu Lima, terpilih menyertai Program Tuisyen Rakyat@KKLW, yang membabitkan empat mata pelajaran iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Mohd Tajudin berkata, beliau berharap kecemerlangan pendidikan di daerah Sik akan dapat terus ditingkatkan demi melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang dalam peperiksaan, khususnya dari kawasan luar bandar.

"Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) baru-baru ini amat membanggakan dan saya berharap ia dapat diteruskan pada masa depan," katanya.

-- BERNAMA