PRU14: DAP P. Pinang gugur dua exco, dua anggota parlimen, dua ADUN





GEORGE TOWN, 21 April (Bernama) -- DAP Pulau Pinang menggugurkan dua anggota exco, dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dua Anggota Parlimen daripada senarai calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Exco berkenaan ialah Lim Hock Seng, 70, (Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan) dan Danny Law Heng Kiang (Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan).

Anggota Parlimen terbabit pula ialah penyandang dua penggal kerusi Jelutong, Jeff Ooi, 62, dan Ng Wei Aik, 40, manakala ADUN yang digugurkan ialah penyandang Bagan Dalam A.Tanasekharan, 62 dan penyandang Pengkalan Kota Lau Keng Ee, 38.

Pengerusi DAP negeri Chow Kon Yeow berkata muka baharu yang dicalonkan ialah anggota Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) M. Sathees yang akan bertanding kerusi DUN Bagan Dalam manakala Daniel Gooi Zi Sen bertanding bagi kerusi DUN Pengkalan Kota.

Semasa pengumuman senarai calon DAP negeri di sini, hari ini, Chow berkata calon-calon itu disenaraipendekkan oleh jawatankuasa DAP Negeri.

Chow berkata beliau akan bertanding bagi kerusi negeri Padang Kota dan kerusi Parlimen Tanjong bagi menggantikan Ng Wei Aik, yang menyandangnya bagi satu penggal.

Chow memulakan kerjayanya dalam politik sebagai Anggota Parlimen Tanjong dari 1999 hingga 2013 sebelum memberi laluan kepada Ng.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengumumkan bahawa beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan yang dimenanginya pada 2008 manakala R.S.N. Rayer, yang menjadi ADUN Seri Delima selama dua penggal, akan bertanding kerusi Parlimen Jelutong.

Lim juga berkata Manifesto DAP akan diumumkan pada Rabu ini.

-- BERNAMA