Bernama nafi siar berita penangguhan pengumuman calon BN Terengganu
KUALA TERENGGANU, 21 April (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menafi menyiarkan berita berkenaan penangguhan pengumuman calon Barisan Nasional (BN) Terengganu yang dijadualkan esok bagi Pilihan Raya Umum ke-14.
Ketua Biro Bernama Terengganu Zalina Maizan Ngah berkata penyebaran berita palsu tersebut tular di aplikasi whatApps dan Facebook lewat malam ini dengan menyebut Bernama sebagai sumber.
Bernama tidak ada menyiarkan berita tentang penangguhan pengumuman calon itu, tegas beliau.
"Mereka yang tidak bertanggungjawap cuba mencetuskan situasi dan pandangan tidak baik di atas keputusan kerajaan negeri untuk mengumumkan calon BN esok, " katanya.
Beliau berkata tindakan selanjutnya agensi berita itu akan dilakukan mengikut peruntukan undang-undang setelah mendapat arahan daripada pihak atasan.
Sementara itu, kenyataan Pejabat Menteri Besar menegaskan majlis pengumuman calon itu akan tetap berlangsung esok pada pukul 10.30 pagi di Kediaman Seri Iman.
-- BERNAMA