PRU14: Semangat OKU masih utuh untuk keluar mengundi
KOTA BHARU, 22 April (Bernama) -- Berstatus orang kurang upaya (OKU) dan sudah di usia emas tidak mematahkan semangat dan dijadikan alasan untuk tidak mengundi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei nanti.
Pesara Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Kelantan, Abdul Rahman Ahmed, 73, dari Kampung Baung, Pengkalan Chepa di sini berkata 'demam' pilihan raya yang kian terasa menyemarakkan semangatnya untuk keluar mengundi walaupun hilang keupayaan penglihatan sejak tiga tahun lepas akibat penyakit diabetes.
"Saya tetap bersemangat untuk keluar mengundi kali ini, walaupun ia merupakan PRU pertama saya dalam keadaan begini (OKU) kerana merasa ia tanggungjawab saya terhadap negara, " katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.
Abdul Rahman yang tidak pernah ketinggalan untuk mengundi setiap kali pilihan raya, sentiasa mengikuti perkembangan politik tanah air terutamanya melalui siaran radio yang menjadi rutinnya setiap hari.
Seorang pesara tentera, Mohd Nor Muhammad, 69, dari kampung sama yang hilang keupayaan fizikal akibat strok tidak menjadikannya halangan untuk beliau keluar menunaikan tanggungjawab mengundi.
"Saya akan keluar mengundi pada PRU akan datang sebagai tanda menghargai jasa kerajaan pusat yang telah membela nasib OKU seperti saya melalui bantuan yang diberikan setiap bulan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
"Saya sudah berjanji dengan diri sendiri, akan terus memberi sokongan kepada kerajaan memandangkan pihak kerajaan sahaja yang banyak membantu saya selama ini," katanya.
Rogayah Salleh, 74, yang hilang penglihatan serta keupayaan fizikal tiga tahun lepas akibat strok berkata, walaupun PRU kali ini beliau tidak mampu untuk berdiri dan melihat seperti sediakala, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus melaksanakan tanggungjawab kepada negara.
"Saya akan keluar mengundi walaupun orang terpaksa mengusung saya nanti memandangkan saya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab untuk mengundi selama ini, " katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap pilihan raya kali ini akan membawa lebih banyak faedah terhadap kebajikan rakyat.
-- BERNAMA