Hang Tuah Jaya: Kalah terus berkhidmat, menang entah ke mana
Oleh Fadzli Ramli
MELAKA, 22 April (Bernama) -- Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Mohd Ali Rustam hanya tertunduk apabila ditanya soalan tentang keadaan rakyat di Parlimen Hang Tuah Jaya atau sebelum ini Parlimen Bukit Katil, di bawah pemerintahan pembangkang sejak pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Sambil menghela nafas panjang, anak jati Kampung Bukit Katil berusia 68 tahun itu meluahkan, hatinya pedih apabila melihat sendiri betapa rakyat dibiar tanpa tempat mengadu atau bergantung harap malah wakil rakyat yang mereka pilih amat jarang kelihatan di kawasan itu.
"Pengalaman lima tahun dipimpin pembangkang menjadi suatu pengalaman perit dan pahit kita semua sebagai penduduk di sini kerana wakil rakyat yang ada tidak boleh membantu kita. Mereka (pembangkang) tidak buat apa-apa selama lima tahun diberi peluang.
"Rakyat tidak dapat perkhidmatan yang sepatutnya daripada wakil rakyat, tetapi bila hendak dekat PRU ini mereka mula timbul. Apa yang mereka buat selama ini hanya memfitnah kerajaan, tetapi hakikatnya rakyat perlukan pembelaan bukan hendak dengar fitnah," katanya kepada Bernama.
Pada PRU13, Shamsul Iskandar Mohd Akin daripada PKR menewaskan Mohd Ali dengan majoriti 5,477 undi di Parlimen Bukit Katil, dan dalam kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya, Parlimen itu dipinda kepada Parlimen Hang Tuah Jaya.
Mohd Ali berkata melihat kepada kepayahan rakyat Bukit Katil 'ditinggalkan' wakil rakyatnya, beliau tidak berdiam diri dan terus berusaha keras membantu rakyat di kawasan itu kerana menurutnya itu adalah tanggungjawab serta amanah yang perlu dipikulnya sebagai anak jati Bukit Katil sendiri.
"Kalau ada perkara berbangkit sila berjumpa dengan saya untuk saya ambil tindakan, kita boleh bincang. Tetapi kalau mahu pembangunan kena tunggu selepas menang pilihan raya kerana sekarang peruntukan kita agak terhad, " kata Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil itu.
Mohd Ali hanya ketawa kecil apabila ditanya adakah dirinya merajuk atau terasa hati apabila tidak dipilih menjadi Anggota Parlimen pada PRU13, dan menjawab beliau tiada masa untuk semua itu kerana terlalu sibuk menyelesaikan masalah rakyat dan berkhidmat membela nasib mereka.
"Apa yang penting sekarang rakyat di kawasan ini mendapat pembelaan sewajarnya, ini bukan soal main politik tetapi soal kebajikan rakyat. Tetapi pembangkang nampaknya lebih suka bermain politik tetapi kita terus membantu dan membela rakyat," katanya.
Parlimen Hang Tuah Jaya mempunyai empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bachang, Ayer Keroh, Bukit Baru dan Ayer Molek, menerusi kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya, DUN Bachang dipinda kepada DUN Pengkalan Batu manakala DUN Bukit Baru kepada DUN Bukit Katil.
Berdasarkan statistik daftar pemilih suku keempat 2017, Parlimen itu mempunyai 115,449 pengundi, meningkat berbanding 99,581 pengundi pada PRU13 yang mana daripada jumlah pengundi PRU13 itu 52.8 peratus merupakan pengundi Melayu, Cina (40.7 peratus) dan India (5.7 peratus).
Sehingga kini, hanya PAS yang telah mengumumkan calonnya bertanding di Parlimen Hang Tuah Jaya pada PRU14 iaitu penyandang kerusi DUN Bukit Baru Dr Md Khalid Kassim, manakala Mohd Ali dan Shamsul Iskandar disebut-sebut bakal mengulangi pertarungan mereka.
Pengundi Parlimen Hang Tuah Jaya, Ainul Mardhiah Ismail, 41, berkata tidak banyak pembangunan terutamanya kemudahan awam dibangunkan di kawasan itu dalam penggal ini, malah lebih menyedihkan wakil rakyat yang dipilih tidak membantu mereka terutama apabila ditimpa bencana.
"Orang sini ada bergurau Tok Ali (Mohd Ali) banjir tak masuk rumah lagi, dia dah sampai pusat pemindahan, tetapi itulah sebenarnya berlaku kerana Tok Ali ni kalau orang sini kena bencana memang dia sampai dahulu. Sudah terbalik patutnya yang menang jadi wakil rakyat patut datang tengok masalah rakyat, ini yang kalah pula yang susah payah tolong rakyat, " katanya.
Ainul Mardiah, bekas pensyarah kini suri rumah tangga dan tinggal di Taman Bukit Katil Indah, berkata beliau sudah muak dengan segala cakap-cakap politik yang sering dimomok pembangkang dan mahukan seorang wakil rakyat yang mampu menolong rakyat, bukan hanya gah bercakap di Dewan Rakyat semata-mata.
Pemilik salon kecantikan Sunna Nair, 54, yang tinggal di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh berkata amat mudah untuk beliau serta penduduk di kawasannya bertemu dan memohon bantuan daripada Mohd Ali kerana rumahnya di Bukil Katil sentiasa terbuka untuk rakyat.
"Minta sokongan dan mengadu kepada Tok Ali cukup senang, bawa surat jumpa dia dan terangkan masalah kita, dia bantu. Tetapi pergi rumah wakil rakyat betul tiada orang. Baru-baru ini tular wakil rakyat itu potong rumput dekat kubur, orang semua gelak kerana tahu itu lakonan, dia tidak turun pun tengok rakyat macam Tok Ali, " katanya. -- BERNAMA