BN WP tampil enam muka baharu, termasuk tiga wanita untuk PRU14

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Barisan Nasional Wilayah Persekutuan (BN WP) hari ini mengumumkan calon bagi kesemua 13 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan, yang menampilkan gabungan orang lama dan muka baru, termasuk tiga calon wanita MCA untuk pilihan raya umum ke14 ini.
Barisan calon BN WP terdiri daripada enam muka baharu, tiga penyandang, dua lagi dicalonkan semula dan dua tokoh pemimpin tempatan yang dinamakan semula untuk menggalas cabaran di kerusi masing-masing.
Daripada enam muka baharu yang diketengahkan, tiga calon daripada Wanita MCA adalah calon muka baharu iaitu Tan Ean Ean bagi kerusi Bukit Bintang, Heng Sinn Yee (Cheras) dan Chan Quin Er (Seputeh).
Muka baharu yang lain ialah Adnan Abu Seman (UMNO-Bandar Tun Razak) , Ong Siang Liang (Gerakan-Kepong) dan Datuk Dr Loga Bala Mohan (MyPPP-Segambut)
Senarai calon BN WP diumumkan Setiausaha BN WP Datuk Rizalman Mokhtar semasa pelancaran Manifesto BN WP yang bertemakan "Aspirasi Rakyat Agenda Kami" dan penyerahan watikah kepada calon-calon bertanding oleh Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di PWTC di sini.
Tengku Adnan yang juga Pengerusi BN WP dan Menteri Wilayah Persekutuan akan mempertahankan kerusi Parlimen Putrajaya untuk penggal keempat.
Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa yang juga Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Ketua UMNO Labuan Datuk Rozman Isli masing-masing akan mempertahankan kerusi Parlimen Titiwangsa dan Labuan.
Tokoh politik yang membuat penampilan semula di kerusi masing-masing adalah Tan Sri Zulhasnan Rafique, bekas menteri kabinet dan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (UMNO-Setiawangsa) dan Ketua Bahagian MCA Wangsa Maju Datuk Seri Yeow Teong Look (MCA-Wangsa Maju).
Zulhasnan pernah mewakili Parlimen Setiawangsa selama dua penggal selepas memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum ke-11 dan 12.
Yeow pula pernah memenangi kerusi Parlimen Wangsa Maju pada PRU11 pada 2004.
-- BERNAMA