Ahmad Shabery berazam beri khidmat cemerlang kepada masyarakat




Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (dua, kiri) menggoreng ayam herba ketika demonstrasi masakan oleh Chef Zambri Ismail (dua, kanan) selepas Perasmian Program Sentuhan Kasih Tani : Program Pertanian Bandar 2.0 di Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Perdana hari ini. Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengelola Mardi Datuk Dr Mohamad Satim Diman (kanan).

PETALING JAYA, 22 April (Bernama) -- Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bersyukur dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman yang disandangnya sejak 2004 dan berazam untuk meneruskan perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat dan negara.

"Saya anggap (pencalonan) ini sebagai satu tanggungjawab. Saya insaf dan rasa sangat rendah diri apabila sekali lagi dinamakan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Kemaman. Perkara ini bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan tetapi sebenarnya tanggungjawab," katanya kepada pemberita berhubung kepercayaan pucuk pimpinan Barisan Nasional yang mencalonkan semula namanya hari ini untuk bertanding di Parlimen Kemaman bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ahmad Shabery ditemui selepas melancarkan majlis Sentuhan Kasih Tani: Program Pertanian Bandar 2.0 di Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Perdana dekat sini.

Menurutnya kesempatan berada di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sejak dilantik pada Julai 2015 membolehkannya mendekati golongan petani dan nelayan untuk menghayati kepayahan golongan itu dalam menyediakan bekalan makanan untuk negara.

"Jadi peluang untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman akan menjadi cabaran baharu bagi saya dan saya akan memberikan yang terbaik (pada PRU14),," katanya.

Ahmad Shabery, 59, memenangi kerusi Parlimen Kemaman pertama kali ketika PRU11 pada 2004 apabila mengalahkan penyandang kerusi itu dari Parti Keadilan Nasional, Abdul Rahman Yusof dengan majoriti 15,882 undi. Ahmad Shabery mendapat 36,517 undi berbanding Abdul Rahman Yusof yang mendapat 20,635 undi.

Semasa PRU12 pada 2008, Ahmad Shabery mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman selepas mendapat 37,139 undi mengalahkan calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Fariz Abd Talib @ Musa yang mendapat 24,516 undi dengan majoriti 12,683 undi.

Dalam PRU13, Ahmad Shabery sekali lagi mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 12,306 undi apabila memperoleh 45,525 undi berbanding calon PKR, Kamarudin Chik yang mendapat 33,219 undi.

Ahmad Shabery yang mula dilantik sebagai anggota Kabinet oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri pada 2008 pernah memegang jawatan Menteri Penerangan, Menteri Belia dan Sukan serta Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 Mei ini sebagai tarikh pengundian bagi PRU14 dengan tarikh penamaan calon pada 28 April dan pengundian awal pada 5 Mei.

-- BERNAMA