Kira-kira 100 bendera BN dibakar dan ditanggalkan di Mambau




SEREMBAN, 22 April (Bernama) -- Kira-kira 100 bendera Barisan Nasional (BN) yang dipasang di hadapan pintu masuk Kampung Baru Mambau dan sekitar pekan Mambau, di sini didakwa telah dibakar dan ditanggalkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ketua Penerangan MCA negeri Dafney Ho berkata pihaknya kesal dengan tindakan berkenaan dan insiden itu merupakan pertama kali berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambau.

Katanya, bendera yang dipasang sejak tiga hari lalu dengan kos yang dianggarkan RM300 itu hanya disedari dibakar dan ditanggalkan pagi tadi.

"Ini persaingan yang tidak sihat...pelik kenapa bendera BN sahaja hilang, bendera lain tidak. Sekiranya pihak saya ada buat kesalahan boleh tegur apa yang tidak betul, jangan buat macam ini (bakar dan tanggalkan bendera)," katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Mambau di sini supaya siasatan dapat dijalankan dan tindakan segera dapat diambil ke atas individu terbabit.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi bersesuaian bagi memastikan insiden yang sama tidak berulang pada masa akan datang.

"Kita akan pasang CCTV untuk elak perkara yang sama selain untuk menjaga keselamatan jentera parti yang akan bertugas sempena PRU-14 (pilihan raya umum ke-14) nanti," katanya.

-- BERNAMA