Rozman dicalon semula pertahan kerusi Labuan

Datuk Rozman Isli
LABUAN, 22 April (Bernama) -- Ketua UMNO Bahagian Labuan Datuk Rozman Isli dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi parlimen Labuan atas tiket Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.
Rozman, penyandang kerusi itu selama satu penggal, dijangka ditentang calon PAS, Warisan dan seorang calon Bebas.
Pencalonan Rozman diumumkan setiausaha BN Wilayah Persekutuan Datuk Rizalman Mokhtar di Dewan Tun Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hari ini pada majlis pengumuman calon parti itu yang akan bertanding bagi 13 kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan.
Rozman memenangi kerusi parlimen Labuan bagi kali pertama pada pilihan raya umum ke-13 dengan majoriti 6, 625 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang calon PKR dan PAS.
Beliau berkata jentera pilihan raya parti komponen BN di sini mula membuat persiapan untuk menghadapi PRU14 dengan mengadakan program berorientasikan rakyat setiap hujung minggu sejurus selepas PRU13.
"Saya bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada kepimpinan UMNO kerana memberi peluang kepada saya untuk bertanding pada pilihan raya ini. Labuan pasti akan menyumbang satu kerusi kepada BN dengan majoriti besar," katanya.
Penganalisis politik Dr Romzi Ationg berkata memandangkan Rozman adalah anggota parlimen yang rajin dan berdedikasi, maka beliau memang layak untuk dicalonkan semula.
"Selain kerap mengadakan aktiviti di kampung-kampung pada hampir setiap hujung minggu, beliau juga mudah didekati dan paling penting, disukai orang ramai.
"Rozman juga menempatkan pegawai sepenuh masa di Pejabat Parlimen Labuan dan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) bagi memudahkan orang ramai mendapatkan bantuan dan membuat pertanyaan," katanya.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pemilih berdaftar di Labuan kini bertambah kepada 28,356 daripada 24, 474 pada pilihan raya umum lepas.
Timbalan pegawai SPR Labuan Marten Abdul Rahman berkata, daripada jumlah itu, 2,309 adalah pengundi awal yang terdiri daripada anggota tentera dan polis dan lima pengundi pos yang tinggal di luar negara.
-- BERNAMA