BN umum calon PRU14 di Wilayah Persekutuan, Terengganu
KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Kemunculan semula bekas menteri kabinet Tan Sri Zulhasnan Rafique dan Ketua MCA Bahagian Wangsa Maju Datuk Seri Yeow Teong Look serta pengguguran Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari, antara tumpuan sewaktu pengumuman calon Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan (WP) dan Terengganu bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Zulhasnan diumum bertanding bagi kerusi Parlimen Setiawangsa yang pernah diwakilinya selama dua penggal selepas menang pada PRU11 dan PRU12, manakala Yeow membuat penampilan semula bagi kerusi Parlimen Wangsa Maju yang pernah dimenanginya pada PRU11 pada 2004.
Pengumuman itu turut menyaksikan lima wanita diangkat sebagai calon, dengan tiga di WP menerusi Wanita MCA iaitu Tan Ean Ean bagi kerusi Bukit Bintang, Heng Sinn Yee (Cheras) dan Chan Quin Er (Seputeh), serta dua di Terengganu melibatkan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Marang, Toh Puan Zaitun Mat Amin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payung dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Dungun Datuk Zainun A. Bakar (DUN Sura).
Di KUALA LUMPUR, senarai calon BN WP diumumkan Setiausaha BN WP Datuk Rizalman Mokhtar menampilkan enam muka baharu iaitu Adnan Abu Seman (UMNO-Bandar Tun Razak) , Ong Siang Liang (Gerakan-Kepong), Datuk Dr Loga Bala Mohan (MyPPP-Segambut) serta tiga calon wanita daripada MCA itu.
Pengerusi BN WP dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula akan mempertahankan kerusi Parlimen Putrajaya untuk penggal keempat, manakala Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa yang juga Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Ketua UMNO Labuan Datuk Rozman Isli masing-masing akan mempertahankan kerusi Parlimen Titiwangsa dan Labuan.
Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Naib Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau pula sekali lagi dinamakan calon BN masing-masing bagi kerusi Parlimen Lembah Pantai dan Batu.
Di KUALA TERENGGANU, pengumuman senarai calon PRU14 dibuat Pengerusi BN negeri Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menyaksikan 19 penyandang, 15 muka baharu serta empat calon yang membuat kemunculan semula.
Antara penyandang Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Shabery Cheek masing-masing kekal untuk mempertahankan kerusi Parlimen Besut dan Kemaman sementara Ahmad Razif kekal bertanding di DUN Seberang Takir dan bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said akan mempertahankan kerusi DUN Kijal.
Muka baharu pula menyaksikan antaranya bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail bagi Parlimen Kuala Terengganu serta pakar motivasi iaitu Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad sebagai calon bagi kerusi Parlimen Kuala Nerus.
Empat calon yang membuat kemunculan semula ialah Datuk Rosol Wahid yang menggantikan Jailani bagi kerusi Parlimen Hulu Terengganu; Datuk Din Adam (Parlimen Dungun); Datuk Abd Halim Jusoh (DUN Permaisuri) dan Datuk Mohamed Awang Tera (DUN Chukai).
Selain itu, dua calon yang pernah bertanding dalam PRU13 tetapi kalah turut dicalonkan semula iaitu Yusof Awang Hitam (DUN Manir) dan Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (DUN Rhu Rendang).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRU14 pada 9 Mei dan tarikh penamaan calon pada 28 April, manakala tarikh pengundian awal pada 5 Mei.
-- BERNAMA