Motif Shafie perjuang hak Sabah meragukan - SAPP

KOTA KINABALU, 22 April (Bernama) -- Motif Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam memperjuangkan hak negeri Sabah adalah meragukan apabila beliau hanya menyuarakannya setelah dipecat daripada jawatan menteri persekutuan, kata setiausaha agung Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Richard Yong.
Yong berkata setiap orang tahu bahawa Shafie hanya bercakap untuk memperjuangkan hak Sabah selepas beliau dipecat sebagai menteri dan beliau tidak pernah mempunyai keberanian untuk melepaskan jawatan.
"Rakyat Sabah tahu beliau ada masalah peribadi dengan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dan agenda tersembunyinya ialah untuk mendapatkan jawatan Ketua Menteri," kata beliau dalam kenyataan sebagai respons kepada kenyataan timbalan presiden Pakatan Harapan Tan Sri Muhyiddn Yassin pada Sabtu bahawa Shafie sering membangkitkan pelbagai isu dalam mesyuarat Kabinet ketika menyandang jawatan menteri.
Sebaliknya, kata Yong, para pemimpin SAPP sentiasa teguh dengan perjuangan mereka dalam menuntut hak Sabah dan autonomi negeri ini serta sanggup mengorbankan kedudukan mereka dalam kerajaan kerananya.
"SAPP sanggup meninggalkan Barisan Nasional (BN) pada 2008. Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kami bagi kawasan Luyang, Melanie Chia melepaskan jawatan menterinya, manakala Adun kami bagi kawasan Likas, Datuk Liew Teck Chan juga melepaskan jawatan beliau dalam SEDCO (Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah)," katanya.
Yong berkata anggota Parlimen daripada parti itu bagi kawasan Sepanggar, Datuk Eric Majimbun dan anggota Parlimen Tawau Datuk Chua Soon Bui serta presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee menolak tawaran untuk menyandang pelbagai jawatan menarik.
"Banyak pemimpin dan anggota parti kami juga meletak jawatan dalam kerajaan seperti anggota majlis perbandaran dan pemimpin tempatan, termasuk kapitan dan ketua kampung serta anggota lembaga pengarah dalam syarikat berkaitan kerajaan," kata Yong.
Beliau berkata adalah sesuatu yang aneh kerana ketika SAPP membentangkan usul hilang kepercayaan terhadap perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sedekad lepas, Muhyiddin dan Shafie begitu garang mempertahankan UMNO.
"Pada waktu sama, mereka menaikkan Najib bagi menggantikan Abdullah," katanya.
Menurut beliau, hingga kini, SAPP dan rakannya dalam Gabungan Sabah, terus memperjuangkan hak Sabah.
-- BERNAMA