BN Pasir Salak lancar manifesto khas untuk golongan muda





PASIR SALAK, 22 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Pasir Salak hari ini melancarkan manifesto khas untuk golongan muda bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi BN Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata manifesto yang menggariskan lima akujanji itu antaranya itu berkaitan kebajikan dan kesejahteraan golongan tersebut.

"Ia termasuklah akan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada golongan tersebut selain akan menyediakan lot dan tapak perumahan bagi membolehkan mereka mendirikan rumah."

"Kami buat manifesto khas ini kerana kami mahu mereka dapat kehidupan lebih selesa di sini tanpa perlu berhijrah ke luar mencari pekerjaan dan kehidupan lebih baik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Briged Gempur 2314 Pemuda BN Pasir Salak di perkarangan Stesen Bas Kampung Gajah di sini, hari ini.

Bersempena majlis pelancaran itu, kira-kira 3,000 peserta konvoi terdiri daripada Pemuda BN berkonvoi sejauh empat kilometer dari Sungai Ranggam ke pekan Kampung Gajah.

Tajuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak dan penyandang kerusi Parlimen Pasir Salak berkata dalam usaha membantu golongan muda menjana dan menambah pendapatan, tanah rancangan berkelompok akan diwujudkan untuk projek tanaman nanas dan kelapa sawit.

"Saya juga telah merancang menjadikan tebing Sungai Perak sebagai projek agro-pelancongan dan ia telah diluluskan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan setakat ini kertas kerja sedang dirangka oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kampung Gajah," katanya.

Tajuddin yang merupakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata pihaknya juga merangka untuk membina sebuah bangunan diberi nama Wisma Warisan Anak Bangsa yang menempatkan pejabat UMNO Bahagian Pasir Salak di tapak stesen bas Kampung Gajah.

-- BERNAMA