Dipinggir pengundi Indera Mahkota, tidak halang kerajaan bawa pembangunan




KUANTAN, 23 April (Bernama) -- Biarpun majoriti pengundi di kawasan Parlimen Indera Mahkota memilih pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lepas, ia tidak sesekali mengekang Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membawa pembangunan pesat termasuk pelbagai kemudahan infrastruktur bagi kemudahan penduduk setempat dan sekitarnya.

Lokasinya yang terletak hanya kira-kira empat kilometer dari pusat pentadbiran kerajaan negeri menjadikan Bandar Indera Mahkota atau dahulunya dikenali sebagai Atabara, kini sebagai pusat pertumbuhan ekonomi kedua berikutan keadaan bandar Kuantan sendiri semakin padat dan sesak dengan pembangunan.

Bahkan BN yang juga tewas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah dan Semambu dalam Parlimen Indera Mahkota membawa masuk projek-projek berimpak tinggi termasuk Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP),

Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), peluasan Pelabuhan Kuantan, serta bandar baharu Kota Sultan Ahmad Shah (Kota SAS).

Bagi Ketua Bahagian UMNO Indera Mahkota Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid perkembangan ini jelas menunjukkan Kerajaan BN tidak pernah bersikap pilih kasih dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai kerajaan yang memerintah di negeri ini.

Kota SAS akan menjadi pusat pentadbiran baharu kerajaan negeri menggantikan pusat pentadbiran sedia ada di Wisma Sri Pahang dan Wisma Persekutuan yang telah beroperasi lebih 50 tahun, katanya.

"Pusat pentadbiran baharu itu sedang dalam proses pembinaan di atas tanah seluas 21 hektar dengan kos sebanyak lebih RM400 juta dan akan dilengkapi pelbagai kemudahan yang dijangka akan siap menjelang hujung 2020.

"Antara yang yang dicadang untuk dibangunkan di situ termasuk bangunan baharu Pejabat Menteri Besar, Bangunan SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) yang akan menempatkan pelbagai jabatan kerajaan negeri yang lain, Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pahang, sebuah hospital dan masjid," katanya.

Dalam masa yang sama Kota SAS juga akan menjadi salah sebuah ste­sen utama projek ECRL, bakal menjadikan kawasan berkenaan sebagai hab pengangkutan dan komersial di negeri ini.

Malah, katanya UMNO bahagian juga juga telah mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membina sebuah hospital mini di Cherating bagi kegunaan penduduk sekitar supaya mereka tidak lagi perlu lagi pergi ke Hospital Kemaman ataupun Hospital Tengku Ampuan Afzan, di Kuantan bagi mendapatkan rawatan.

Dalam masa yang sama MCKIP menjadi satu lagi projek berimpak tinggi dilaksanakan di Parlimen Indera Mahkota yang memperoleh pelaburan berjumlah hampir RM20 bilion dalam industri teknologi tinggi termasuk peralatan plastik dan logam, komponen automotif dan keluli.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pahang Yusri Yusof berkata walaupun dijadikan subjek untuk menyerang kerajaan, MCKIP adalah satu lagi medium yang akan menjadi pemangkin ekonomi Pahang dan Pantai Timur.

"MCKIP yang dilancarkan pada Febuari 2013 dengan pembangunan yang dilakukan di atas tanah berkeluasan 1,214 hektar di Balok itu kita dapati sering menjadi modal untuk memburukkan kerajaan termasuk dakwaan yang mengatakan bahawa ia merupakan kota tertutup dan tidak memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Bagaimanapun selepas mengadakan sendiri lawatan ke MCKIP baru-baru ini, kita mendapati segala dakwaan itu tidak benar, malah ketika ini terdapat lebih kurang 1,200 pekerja tempatan dan hanya 200 pekerja dari China yang bekerja di Alliance Steel (M) Sdn Bhd, syarikat pertama yang beroperasi di MCKIP," katanya.

Tempias ekonominya turut dirasai syarikat dan kontraktor tempatan apabila Alliance Steel ini turut membeli barangan dan menyewa bahan pembinaan selain menawarkan kontrak untuk kerja tertentu.

Alliance Steel (M) Sdn Bhd, merupakan sebuah anak syarikat Guangxi Beibu Gulf Iron and Steel Investment Co Ltd dari China, melabur sebanyak RM4.2 bilion untuk membina sebuah kilang keluli bersepadu moden di lokasi seluas 284 hektar di MCKIP.

Dianggarkan lebih 4,000 peluang pekerjaan akan dibuka kepada rakyat tempatan sebaik kilang ini beroperasi sepenuhnya kelak dan syarikat ini juga telah beberapa kali mengadakan ekspo pekerjaan di Kelantan, Terengganu dan Pahang pada tahun lepas.

Katanya projek pembesaran Pelabuhan Kuantan yang kini sedang rancak dilakukan untuk membolehkan kapal berkapasiti muatan seberat 200,000 tan akan melengkapkan lagi projek MCKIP dan menarik lebih ramai pelabur untuk menanam modal bukan sahaja di Pahang, tetapi juga Pantai Timur.

-- BERNAMA