TPM mahu majoriti Parlimen Kimanis, dua DUN meningkat pada PRU14





KIMANIS, 23 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu majoriti kerusi Parlimen Kimanis dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya masing-masing DUN Bongawan serta Membakut meningkat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, jumlah majoriti undi PRU14 bagi kerusi Parlimen Kimanis perlu ditingkatkan kepada 10,000 berbanding 5,723 pada PRU13.

Bagi dua kerusi DUN pula, Ahmad Zahid berkata beliau mahu majoriti undi bagi Bongawan meningkat kepada 7,000 pada PRU14 berbanding 3,392 pada PRU13, manakala Membakut disasar memperoleh 5,000 majoriti undi pada PRU14 berbanding 3,510 pada pilihan raya lepas.

"Jika angka (sasaran) majoriti itu diperoleh pada PRU14, beri saya tempoh selama 90 hari mulai hari ini, saya akan memenuhi semua permintaan ketiga-tiga pemimpin kawasan berkenaan."

"(Pembangunan infrastruktur itu) akan dilaksanakan oleh ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri)," katanya berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Bongawan di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis dan penyandang kerusi Parlimen Kimanis; Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin; penyandang kerusi DUN Bongawan Datuk Mohamad Alamin; dan penyandang kerusi DUN Membakut Datuk Mohd Arifin Arif.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid melancarkan jentera pilihan raya BN Kimanis selain turut menyerahkan cek daripada ICU yang akan diagihkan bagi membaik pulih gereja-gereja di Parlimen Kimanis.

-- BERNAMA