Jangan terpedaya dengan muslihat DAP tentang 'tsunami Melayu' - Najib





KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan masyarakat Cina supaya tidak terpedaya oleh muslihat DAP berhubung apa yang dikatakan sebagai 'tsunami Melayu' iaitu peralihan undi masyarakat Melayu kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Saya ingin beri jaminan kepada anda bahawa tidak akan berlaku tsunami Melayu terhadap kerajaan. Sekiranya strategi itu berjaya, ia akan hanya membawa keburukan kepada masyarakat Cina. Ini kerana, kami memerlukan perwakilan masyarakat Cina yang kukuh dalam kerajaan demi kebaikan masyarakat Cina sendiri."

"Strategi DAP itu (untuk menang pilihan raya) adalah dengan (menyemai) kebencian berlandaskan hipotesis bahawa akan berlaku tsunami Melayu pada pilihan raya kali ini," kata beliau pada majlis pelancaran pembangunan semula kampus Sekolah Tinggi Kuen Cheng di Jalan Syed Putra di sini.

Naijib seterusnya berkata, ketika ini, masyarakat Cina mewakili 23 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia, tetapi mereka hanya mempunyai enam peratus anggota parlimen dalam kerajaan, kedudukan yang tidak mampan dalam jangka panjang dan boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat itu.

"MCA dan Gerakan bekerja keras untuk menyokong masyarakat Cina, bersama-sama kaum lain. Sebenarnya, saya sering menerima permintaan daripada (presiden MCA) Datuk Seri Liow Tiong Lai dan (presiden Gerakan) Datuk Seri Mah Siew Keong tentang bagaimana kami boleh lakukan lebih banyak lagi demi kebaikan masyarakat Cina," katanya.

-- BERNAMA