PRU14: Mubarak bantu BN di kawasan kerusi panas
KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Malaysia akan membantu kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan memberi tumpuan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang BN tewas tipis pada pilihan raya umum sebelum ini.
Presidennya Tan Sri Dr Abdul Aziz Rahman berkata pihaknya akan menjalin kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) di setiap negeri untuk mengadakan pelbagai program penerangan bagi meraih sokongan rakyat terhadap BN.
"Kita juga akan tumpu untuk mendekati pesara, bekas pemimpin wanita, ibu tunggal dan bekas pemimpin kerajaan agar mereka kembali kepada perjuangan BN," katanya selepas pelancaran Bilik Gerakan PRU14 Mubarak hari ini.
Bilik gerakan itu yang terletak di di Ibu Pejabat Mubarak, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini dilancarkan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Datuk Seri Ghazali Ibrahim yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ghazali berkata Najib yang juga Pengerusi BN berharap jentera Mubarak dapat digerakkan sepenuhnya menggunakan pengalaman sedia ada untuk membantu parti terutamanya dalam merampas negeri-negeri daripada pembangkang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU14 pada 9 Mei dan penamaan calon pada 28 April ini.
-- BERNAMA