Lee, Mohd Imran fokus kepentingan orang muda
SHAH ALAM, 23 April (Bernama) -- Dua calon muda yang ditampilkan Barisan Nasional (BN) Selangor untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) komited untuk menjuarai kepentingan orang muda di kawasan masing-masing.
Calon termuda BN yang bakal bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan, Lee Yee Yuan, 28, berkata beberapa inisiatif yang dijanjikan oleh manifesto BN pusat untuk golongan muda mampu dijadikan sandaran untuk menarik sokongan pengundi di kawasan berkenaan.
"Manifesto orang muda yang dilancarkan oleh Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin baru-baru ini telah membuka mata ramai pengundi muda di Sekinchan bahawa BN adalah serius dalam menjaga kebajikan pemuda.
"Janji untuk meningkatkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan golongan muda, isu perumahan merupakan isu yang dekat dengan orang muda bukan hanya dia Sekinchan tetapi di seluruh negara," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon BN Selangor, di sini hari ini.
Lee yang merupakan seorang arkitek bakal menentang penyandang kerusi itu, Ng Suee Lim daripada DAP yang akan menggunakan logo PKR serta calon PAS, Fadzlin Taslimin.
Bagi seorang lagi calon muda yang akan bertanding di DUN Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin, 31, cabaran utama beliau adalah untuk meneruskan kecemerlangan bekas ADUN kawasan berkenaan, Budiman Mohd Zohdi.
Katanya, Budiman yang dilihat penduduk sebagai seorang yang merendah diri dan tanpa protokol telah meletakkan petanda aras yang tinggi baginya.
"Budiman seorang yang cemerlang sebagai ADUN Sungai Panjang, dan saya yakin dengan beliau bertanding di Parlimen Sungai Besar dan saya di Sungai Panjang kami dapat bekerjasama dengan lebih baik bagi memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat," katanya.
Mohd Imran bakal dicabar calon PAS Mohd Razali Saari dan calon AMANAH yang bertanding menggunakan logo PKR, Mariam Abdul Rashid.
Ketika ditanya fokusnya di kawasan Sungai Panjang, Mohd Imran yang juga seorang peguam berkata beliau akan memberikan perhatian khas kepada bidang pendidikan di kawasan itu.
"Pendidikan adalah penting bagi seseorang individu itu untuk keluar daripada masalah kemiskinan. Kawasan Sungai Panjang majoritinya adalah petani dan dengan menggalakkan anak petani ini memberi fokus kepada pendidikan, Insya-Allah dia kelak boleh membantu memodenkan industri pertanian di Sungai Panjang," katanya.
-- BERNAMA