Kumpulan dakwa anggota PKR bantah Dr Mahathir guna logo




SEBERANG JAYA, 23 April (Bernama) -- Sekumpulan kira-kira 50 orang yang mendakwa anggota PKR hari ini berhimpun secara aman di perkarangan pejabat parti itu di sini bagi membantah tindakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding menggunakan logo parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Kumpulan itu, yang diketuai bekas Naib Ketua Cabang PKR Batu Kawan A. Loganathan, mendakwa mereka mewakili akar umbi parti masyarakat India negeri ini.

Loganathan mendakwa akan menarik keluar 11,500 anggota PKR dari kalangan masyarakat India di Pulau Pinang jika parti itu masih membenarkan Dr Mahathir bertanding menggunakan logo PKR.

"...nanti undi (kami) tak akan bagi kepada PKR," katanya ketika ditemui pada perhimpunan itu di perkarangan Pejabat PKR Pulau Pinang di sini, hari ini.

Beliau mendakwa pihaknya telah mengemukakan bantahan itu kepada Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sejak pembubaran Parlimen tetapi sehingga kini tiada tindakan yang diambil.

"Saya syorkan Tun Mahathir bertanding atas tiket calon bebas, tak perlu kucar-kacirkan PKR."

"Dahulu, dia yang memalukan PKR. Sebab Mahathirlah wujudnya PKR...sekarang dia minta izin guna logo PKR untuk bertanding, memang tak boleh diterima," katanya.

Turut hadir pada perhimpunan itu Pengerusi Penang Front Party (PFP) Datuk Patrick Ooi.

Sementara itu, Pengarah Keselamatan Jentera Pilihan Raya PKR Permatang Pauh Talib Ibrahim menafikan penglibatan mana-mana Cabang PKR dalam perhimpunan itu.

Menurutnya PKR telah membuat laporan polis berkaitan perkara itu.

"PKR Pulau Pinang dan Permatang Pauh tidak terlibat dengan himpunan itu dan kami pun tidak kenal siapa mereka," katanya ketika ditemui pemberita selepas perhimpunan itu.

-- BERNAMA