Wong, Marsum Yakin Diterima Pengundi




SHAH ALAM, 23 April (Bernama) -- Dua calon Barisan Nasional (BN) Selangor yang ditampilkan semula selepas tidak disenaraikan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yakin akan diberi kepercayaan oleh pengundi untuk berkhidmat di kawasan masing-masing.

Calon kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Wong Koon Mun yakin beliau akan mendapat sokongan pengundi di kawasan itu berdasarkan khidmat dan bantuan yang disalurkan selama ini.

"Walaupun saya tidak dicalonkan dalam PRU13, saya tetap dianggap sebagai wakil rakyat di kawasan itu kerana pengundi di sana memang mengenali saya dan saya berikan apa sahaja bantuan dan pertolongan yang mereka mahukan."

"Saya yakin mereka (pengundi) pasti akan beri saya peluang menjadi wakil rakyat sekali lagi," katanya kepada Bernama selepas majlis pengumuman calon BN Selangor bagi PRU14 di Bangunan UMNO Selangor di sini hari ini.

Pada PRU12, Wong menewaskan calon DAP, K. A. Ramu dengan majoriti 448 undi. Penyandang DUN Kuala Kubu Bharu ialah Lee Kee Hiong daripada DAP.

Wong berkata agenda beliau ialah memberi tumpuan membangunkan Kuala Kubu Bharu sebagai destinasi ekopelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong ke kawasan itu.

"Kuala Kubu Bharu banyak pusat riadah dan kawasan sungai yang boleh dibangunkan sebagai tempat tumpuan pelancong. Langkah itu secara tidak langsung akan mewujudkan peluang pekerjaan khususnya kepada anak muda setempat," katanya.

Calon Parlimen Sepang Datuk Marsum Paing berkata apa yang penting ialah sentiasa turun padang bagi menabur khidmat kepada rakyat sama ada dipilih sebagai calon atau sebaliknya.

"Saya berikrar akan menjaga kebajikan seluruh rakyat dari semua aspek tidak kiralah dari aspek kebajikan, kewangan atau pembangunan sekiranya dipilih semula sebagai wakil rakyat," kata bekas ADUN Dengkil itu.

Pada PRU12, Marsum menewaskan calon PKR Ishammudin Ismail di DUN Dengkil dengan majoriti 3,367 undi namun digugurkan pada PRU13.

Bagi PRU14, beliau dipertanggungjawabkan untuk merampas semula kerusi Parlimen Sepang yang terlepas ke tangan Mohamed Hanipa Maidin (kini Amanah) yang ketika itu mewakili PAS pada PRU13.

-- BERNAMA