MCA perlu menang lebih banyak kerusi di Johor




JOHOR BAHRU, 23 April (Bernama) -- MCA perlu memenangi lebih banyak kerusi di Johor, sama ada di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi membolehkan parti itu mewakili suara masyarakat Cina secara berkesan dalam kerajaan.

Timbalan presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata dengan hanya memenangi empat daripada 26 kerusi Parlimen dan dua daripada 56 kerusi DUN di Johor pada pilihan raya umum lepas tidak cukup untuk parti itu mewakili kepentingan kaum Cina di negeri itu.

Pada PRU13, MCA hanya menang empat kerusi Parlimen iaitu Labis, Ayer Hitam, Tebrau dan Tanjung Piai serta dua kerusi DUN iaitu Paloh dan Pulai Sebatang.

Justeru, Wee, menyeru calon MCA yang bertanding di lapan kerusi Parlimen dan 15 kerusi DUN di negeri itu supaya bekerja keras dalam menyakinkan pengundi di kawasan masing-masing.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pengumuman Calon-Calon Barisan Nasional (BN) bagi PRU14 di Ibu Pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor, di sini. hari ini.

Menurutnya, beliau mahu semua calon menerangkan sebaik mungkin mengenai isu atau tohmahan yang dilemparkan oleh pembangkang kepada penduduk setempat walaupun kerusi yang ditandingi mereka dianggap 'selamat'.

Pada PRU14, 9 Mei ini, MCA akan bertanding di lapan kerusi Parlimen iaitu Labis, Bakri, Ayer Hitam, Kluang, Tebrau, Iskandar Puteri (Gelang Patah), Kulai dan Tanjung Pai serta 15 kerusi DUN termasuk Jementah, Bekok, Tangkak, Bentayan, Yong Peng dan Parit Yaani.

Wee, yang menyandang kerusi Parlimen Ayer Hitam sejak 2004, akan ditentang oleh Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Kluang.

Ditanya mengenai strategi Pakatan Harapan untuk meletakkan calon kuat mereka di Johor, beliau menyifatkan tindakan pakatan pembangkang itu hanya sandiwara politik semata-mata bagi meraih undi orang Melayu.

"Dalam BN, tiada sandiwara...kita hanya berkhidmat untuk rakyat," kata Wee, yang juga Menteri di Jabatan Perdana menteri.

-- BERNAMA