Liow gesa penyokong BN Wangsa Maju bersatu




SHAH ALAM, 23 April (Bernama) -- Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa penyokong Barisan Nasional (BN) di kawasan parlimen Wangsa Maju supaya terus bersatu dan menghormati semangat kesepakatan BN mengenai pengagihan kerusi.

Beliau berkata semua pihak perlu menghormati keputusan kepimpinan BN untuk meletakkan Datuk Seri Yew Teong Look dari MCA sebagai calon BN untuk Wangsa Maju pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana BN mempunyai peluang cerah untuk merampas kerusi itu dari pembangkang jika semua parti komponen bekerjasama.

"Minta mereka (penyokong) sabar kerana kita tahu perasaan mereka tapi semangat BN penting ... kita ada konsensus kita minta semua bersatu, menangkan calon BN," kata beliau kepada pemberita selepas pengumuman mengenai calon-calon BN Selangor bagi PRU14 di ibui pejabat UMNO negeri di sini hari ini.

Liow mengulas gesaan oleh penyokong Ketua UMNO Wangsa Maju Datuk Seri Mohd Shafei Abdullah to supaya beliau diturunkan sebagai calon Wangsa Maju memandangkan kerusi itu ialah majoriti Melayu yang merangkumi lebih 60 peratus daripada keseluruhan pengundi.

Mohd Shafei bertanding di kerusi Wangsa Maju pada PRU13 tetapi tewas kepada calon PKR Datuk Tan Kee Kwong dengan 5,511 undi.

Mengenai komposisi 22 calon MCA yang mewakili BN Selangor pada PRU14, Liow yang juga Pengerusi MCA Selangor berkata beliau berpuas hati dengan komposisi calon secara keseluruhan termasuk calon paling muda iaitu Lee Yee Yuan, 28, seorang arkitek.

Beliau berkata Lee yang akan bertanding di kerusi dewan undangan negerui Sekinchan buat kali pertama dan BN mempunyai peluang terbaik untuk merampas kembali kerusi itu dari calon DAP Ng Suee Lim selaku penyandang kerusi itu untuk tiga penggal.

-- BERNAMA