Calon harap pengundi lebih bijak pilih BN, bangunkan DUN Tokai





Oleh Mohd Fazil Ahmad

ALOR SETAR, 24 April ( Bernama) -- Calon muka baharu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tokai dalam kawasan Parlimen Pendang, Ahmad Fatahi Omar, 53, tekad untuk memastikan kawasan DUN itu tidak terus ketinggalan jika Barisan Nasional menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke- 14, 9 Mei ini.

Ahmad Fatahi dari Kampung Rambai, Tokai berkata misinya jelas untuk memenuhi segala keperluan dan kehendak rakyat yang sekian lama tertinggal di situ di bawah PAS.

Anak watan dari Kampung Rambai, Tokai, ini selain berpengalaman dalam politik, aktif dalam kegiatan badan bukan kerajaan dana pernah menjadi Naib Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia serta negeri Kedah.

"Walaupun DUN Tokai adalah kubu kuat PAS sejak dulu lagi, tidak mustahil pilihan raya kali ini, masyarakat di DUN ini memilih BN untuk jaminan masa depan. berdasarkan rekod perkhidmatan yang ditunjukkan oleh penyandang Anggota Parlimen Datuk Othman Abdul dan penyandang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sg Tiang yang dicalonkan semula pada hari ini."

"Saya tidak akan menoleh ke belakang dan meneruskan tradisi sentuhan terus kepada rakyat untuk melaksanakan pelbagai agenda penting terutama bidang pertanian dan menjana lebih banyak peluang ekonomi dan perniagaan kepada rakyat pelbagai kaum," katanya ditemui Bernama pada Majlis Pengumuman Calon-Calon Barisan Nasional (BN) negeri Kedah di sini hari ini.

Pada majlis itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah yang juga calon kawasan DUN Suka Menanti (Bakar Bata) mengumumkan kesemua 15 calon bagi kerusi Parlimen dan 36 calon kerusi DUN Kedah.

Ahmad Fatahi berkata beliau berjanji akan memberi fokus kepada pekan-pekan kecil seperti pekan Tokai dan Tanah Merah dari segi infrastrukturnya seterusnya merancakkan lagi aktiviti desa di kawasan luar bandar sejajar dengan jajaran sistem pengangkutan yang baik.

Kehadiran pemimpin tertinggi iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di kawasan Parlimen Pendang juga memberi isyarat awal bahawa daerah itu dalam rada pembangunan kerajaan yang patut disahut rakyat untuk kemenangan BN di Parlimen dan dua kawasan DUN.

"Kita juga akan memastikan sekolah- sekolah pondok dan institusi agama terpelihara, taraf kesihatan rakyat Pendang juga ditingkatkan menerusi pembinaan Hospital Pendang di Kampung Manggol Pauh," katanya.

Sementara itu, penyandang Anggota Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul berkata beliau akan memastikan kawasan Parlimen Pendang terus kekal di bawah pemerintahan BN agar kelangsungan pembangunan dan kerancakan ekonomi di situ berjalan lancar.

Kita dah buat kerja dah lama dah sejak memenangi PRU ke-13 lalu dengan turun ke bawah dan melihat kepayahan rakyat untuk kita bantu dan ini akan diteruskan, katanya.

Pada PRU ke-13 (2008), kerusi Parlimen Pendang dimenangi Datuk Othman Abdul (BN), menewaskan Mohd Sabu (PAS) ketika itu dengan majoriti 2,638, manakala Datuk Suraya Yaacob menewaskan Fadzil Baharum (PAS) dengan majoriti 9,994 bagi DUN Sungai Tiang, namun calon BN, Najmuddin Darus tewas kepada Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul (PAS) dengan majoriti 5,833 undi di DUN Tokai.

-- BERNAMA