Calon termuda BN Sarawak kongsi visi untuk Sibuti




Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi BN Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menunjukkan senarai calon BN Sarawak bagi PRU14

MIRI, April 24 (Bernama) -- Sungguhpun beliau merupakan yang termuda dari kalangan 31 calon Barisan Nasional Sarawak (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), namun pengucapan Lukanisman Awang Sauni mengalahkan ahli politik veteran ketika menggariskan visinya bagi kawasan luar bandar Parlimen Sibuti.

Graduan Universiti Malaya berusia 36 tahun itu merupakan antara 12 muka baharu yang diumumkan oleh Pengerusi BN Negeri yang juga Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Lukanisman menggantikan Datuk Ahmad Lai Bujang yang membuat keputusan untuk tidak dicalonkan semula sebagai Anggota Parlimen Sibuti pada PRU14 setelah dua penggal atas sebab kesihatan.

"Selain menumpukan kepada usaha menaiktaraf infrastruktur, memohon peruntukan bagi membaiki bangunan sekolah yang uzur serta meningkatkan pembinaan projek perumahan mampu milik, golongan muda juga akan diberi perhatian istimewa," katanya kepada Bernama.

Lukanisman yang merupakan pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang bertanggungjawab terhadap Parlimen Sibuti percaya bahawa golongan muda boleh memainkan peranan penting kawasan parlimen itu.

"Beri saya masa, saya akan merangka strategi untuk golongan muda di kawasan Parlimen Sibuti memainkan peranan dalam membangunkan negara terutama dalam ekonomi digital sepertimana yang ditekan oleh kerajaan negeri " katanya.

Bagaimanapun, katanya tugas utama sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat ialah bagi menentukan semua projek yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak awal bulan ini dilaksanakan secepat mungkin.

"Kawasan Parlimen Sibuti memerlukan Klinik Kesihatan baharu bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin meningkat," katanya sambil menambah bahawa penduduk luar akan dapat memanfaatkan pusat kesihatan itu nanti.

Untuk rekod, Parlimen Sibuti merupakan kubu kuat BN yang memenangi kerusi itu dengan memperolehi majoriti besar sebanyak 6,066 undi pada PRU13.

Pada 5 April lepas Najib ketika melakukan lawatan kerja kali ketiga di Bekenu, sebuah bandar 50 km dari sini, telah mengumumkan peruntukan RM50 juta bagi membina sebuah klinik kesihatan baharu dan peruntukan RM5 juta bagi membina kawasan persiaran di Kampung Seberang Bekenu.

Pembantu Menteri Sarawak bagi Wanita , Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-Kanak Rosey Yunus yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Bekenu telah dipetik sebagai berkata bahawa seramai 60,000 orang dari kawasan Niah dan Sibuti akan mendapat manfaat daripada klinik kesihatan baharu itu nanti.

-- BERNAMA