Pemilikan rumah mampu milik antara fokus calon BN bagi Bagan Dalam





GEORGE TOWN, 24 April (Bernama) -- Isu pemilikan rumah mampu milik merupakan nsatu daripada fokus utama calon Barisan Nasional dari MIC bagi kerusi Bagan Dalam, J. Dhinagaran.

Beliau berkata perumahan ialah satu daripada masalah utama yang dihadapi rakyat terutama generasi muda kerana memiliki rumah kini bertambah sukar dari semasa ke semasa.

"Kebanyakan rumah yang sedang dibina adalah di luar kemampuan untuk rakyat memilikinya dan ini menimbulkan masalah bagi generasi akan datang pada jangka panjang," kata ahli perniagaan itu selepas pengumuman mengenai calon Barisan Nasional (BN) di sini hari ini.

Dhinagaran, 45, menjangka pilihan raya kali ini akan menjadi medan pertarungan yang sengit. Bagaimanapun misi BN untuk merampas kembal kerusi itu yang jatuh kepada DAP pada 200 adalah jelas.

Dinagaran menjangka menghadapi pertembungan empat penjuru melibatkan DAP, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Parti Bersama Malaysia (MU).

Walaupun beliau adalah muka baharu dalam senarai calon BN, Dhinagaran selaku pemegang Diploma dalam Pengurusan Hotel telah berkecimpung dalam politik selama lebih lima tahun dan beliau juga adalah seorang daripada anggota jawatankuasa kerja pusat parti.

Sementara itu, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai dijangka menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan calon BN, M. Suresh, calon Pakatan Harapan, P. Ramasamy dan PRM.

Ketua Bahagian MIC Permatang Pauh berusia 49 tahun yang memiliki Ijazah dalam bidang Elektrik dan Elektronik itu telah berkhidmat kepada parti selama lebih tiga tahun.

-- BERNAMA