Calon termuda BN Pulau Pinang ada cara sendiri tawan hati pengundi





GEORGE TOWN, 24 April (Bernama) -- Calon termuda Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Peggie Koo Pei Chee percaya faktor usia dan sentiasa mendekati masyarakat tempatan memberi kelebihan apabila bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Lanchang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)).

Koo, seorang ahli politik sepenuh masa yang pernah bekerja sebagai guru berkata beliau akan memberikan yang terbaik sebagai calon dari parti Gerakan untuk membolehkan BN merampas kembali kerusi itu.

Walaupun usianya baru 32 tahun, bekas pelajar SMK Bukit Sentosa 2 di Selangor berkata beliau bergerak aktif dalam aktiviti Gerakan di kawasan tersebut sejak 2008.

"Walaupun saya calon paling muda, saya berharap rakyat akan memberikan peluang kepada saya kerana saya mudah didekati berbanding ADUN sebelum ini," kata beliau kepada Bernama selepas pengumuman mengenai senarai calon BN Pulau Pinang oleh Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow di sini hari ini.

Beliau dijangka menghadapi cabaran daripada ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Ong Ah Teong di kerusi DUN Batu Lanchang selepas penyandangnya yang juga pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan Pulau Pinang Danny Law Heng Kiang digugurkan.

Walaupun Koo berasal dari Sungai Petani, beliau telah menetap di Pulau Pinang sejak 2007 dan keutamaannya sekarang ialah untuk menjaga kebajikan penduduk di kawasan DUN itu yang majoriti penduduknya berusia 60 tahun ke atas.

Koo, yang masih bujang, menyertai aktiviti Gerakan sejak 2008 dan menjadi anggota parti pada 2014.

Sementara itu, bagi calon muka baharu DUN Permatang Berangan dari UMNO, Nor Hafizah Othman, 42, berkata, matlamat utamanya adalah ingin menjadikan kawasan berkenaan sebagai hab pendidikan di samping menambahbaik kebajikan masyarakat di sana.

Hafizah, yang juga Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tasek Gelugor, berkata beliau akan menyokong cadangan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya untuk menjadikan kawasan ini sebagai kawasan hub pendidikan.

"Saya akan beri tumpuan kepada bahagian pendidikan dan kebajikan masyarakat bagi meneruskan legasi pembangunan di DUN ini," katanya.

-- BERNAMA