PRU14: Calon BN Melaka mampu realisasi majoriti dua pertiga





Oleh Shaidathul Suhana Ros

MELAKA, 25 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) Melaka yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mampu merealisasi majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dengan syarat semua anggota BN sepakat menyokong calon dipilih pimpinan parti.

Timbalan Pengerusi Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Melaka Tan Sri Abu Seman Yusop berkata calon yang disenaraikan adalah melepasi kriteria yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan BN untuk sasaran majoriti dua pertiga itu, justeru sokongan tidak berbelah bahagi perlu diberikan kepada mereka.

"Calon lama pergi ke akar umbi, calon baharu pikul tanggungjawab. Ini (barisan calon) adalah pertaruhan seimbang antara muka lama dan muka baharu yang diyakini mampu mengekalkan majoriti dua pertiga BN di Melaka sekali gus mengukuhkan lagi kerajaan sedia ada berdasarkan senario semasa.

"Mereka disenaraikan adalah calon tepat. Justeru, calon diumumkan ini perlu diterima baik oleh semua pimpinan dan anggota parti komponen dengan semangat mengutamakan kepentingan BN berbanding parti masing-masing atau perkara lain," kata Anggota Majlis Tertinggi Mubarak itu kepada Bernama.

Isnin lepas, Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Idris Haron mengumumkan senarai 28 calon untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan enam calon di kerusi Parlimen termasuk 12 calon muka baharu bagi menghadapi PRU14 pada 9 Mei ini.

Pada PRU13, BN membentuk kerajaan dengan dua pertiga majoriti DUN Melaka iaitu 21 kerusi DUN daripada keseluruhan 28 kerusi dan pada PRU14 BN menyasarkan untuk menguasai 24 kerusi DUN di Melaka. BN perlu memperoleh 19 kerusi DUN minimum untuk majoriti dua pertiga itu.

Abu Seman, bekas Anggota Parlimen Masjid Tanah dan bekas Timbalan Pengerusi BN Melaka, berkata jentera parti di semua peringkat akar umbi perlu bekerja keras membantu memenangkan calon BN dan perkara itu perlu menjadi pegangan anggota parti untuk memastikan BN terus memperoleh mandat untuk memerintah negara.

"Orang UMNO juga pengundi dalam masa yang sama mereka juga penyokong, perlu sama bantu membantu antara satu sama lain. Kita bukan sahaja bekerja sebagai satu pasukan tetapi sebagai satu keluarga. Kemesraan anggota seperti adik-beradik dan itulah kekuatan kita.

"Dengan adanya perpaduan dan kesetiaan ini, saya percaya dengan penuh yakin BN Melaka berpotensi untuk meraih sekurang-kurangnya 19 kerusi DUN dalam PRU14 nanti," kata bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri itu.

Sementara itu, beliau berkata ketika ini BN Melaka terus cemerlang apabila mampu membentuk pencapaian sebagai sebuah negara maju dengan pembangunan Bandar dan luar Bandar yang seimbang serta mengekalkan kelestarian alam sekitar sepanjang penggal 2013-2018.

"Idris seorang yang pintar dan mempunyai aura yang luar biasa. Setiap perancangan pembangunan yang dilaksanakan di Melaka sentiasa memberi impak positif kepada pertumbuhan sosioekonomi negeri.

"Buktinya, Melaka banyak menerima anugerah termasuk ?The World's Trendiest Holiday Destination By The British Post' dan '10 Destinasi Terbaik Mesti Lawat di Asia' oleh Lonely Planet.com. Yang penting, kita jangan dengar orang cakap, sebaliknya kita kena lihat sendiri apa kemajuan BN dah buat di negeri ini," kata Abu Seman.

Dalam pada itu, bekas Speaker DUN Datuk Othman Muhamad berkata perubahan senarai calon dengan mempertaruhkan 12 muka baharu dan 21 calon lama yang kekal merupakan antara strategi yang dilihat berkesan untuk memastikan BN terus kekal kuasa di Melaka.

"Setiausaha Politik Perdana Menteri, Wong Nai Chee pernah memenangi kerusi Parlimen Kota Melaka pada PRU11 sebelum ini dan penampilan semula beliau di kerusi Parlimen Alor Gajah disifatkan sebagai simbolik kepercayaan yang diberikan pucuk pimpinan parti kepadanya untuk berbakti kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata selain itu banyak lagi strategi yang disusun oleh BN Melaka termasuk juga menukarkan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah daripada kerusi Parlimen Tangga Batu ke DUN Paya Rumput.

"Ini kerana berdasarkan senario politik semasa, DUN Paya Rumput kawasan kuat pembangkang, dengan meletakkan calon (Abu Bakar) di kerusi itu, kita jangka BN bukan sahaja boleh menang, tetapi disukai rakyat," katanya.

Othman berkata kemajuan dan pembangunan hasil daripada pentadbiran kerajaan BN memberi pelbagai faedah dan kesenangan kepada rakyat berbilang bangsa di Melaka, bahkan segalanya dilaksanakan tanpa sebarang masalah hasil hubungan baik antara pemimpin BN peringkat negeri dengan persekutuan yang diterajui BN.

-- BERNAMA