PRU14: Idris Haron sangkal dakwaan Sungai Udang kerusi selesa




MELAKA, 25 April (Bernama) -- Datuk Seri Idris Haron menyangkal dakwaan sesetengah pihak terutama pembangkang bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang merupakan kerusi selesa untuknya memenangi kerusi itu serta memberi kelebihan kepada BN mendapat undi majoriti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berkata dakwaan tersebut sengaja diwujudkan bagi menimbulkan isu untuk digunakan sebagai serangan ke atasnya dan BN selain bertujuan mengelirukan rakyat dengan fakta yang tidak betul.

"Saya tidak pernah menganggap Sungai Udang sebagai kerusi selesa untuk saya atau BN sekalipun. Sebaliknya kita telah bekerja keras sepanjang masa bukan hanya menjelang PRU14 tetapi sepanjang tempoh lima tahun sebelum ini selepas BN memenangi kerusi berkenaan.

"Antara program yang kami laksanakan secara berterusan di DUN Sungai Udang ialah Ziarah Kasih iaitu setiap minggu saya sendiri turun padang menziarahi penduduk di kawasan ini dan bantuan disalurkan kepada mereka yang memerlukan," katanya yang merupakan penyandang kerusi DUN Sungai Udang.

Ketua Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Jentera Pilihan Raya BN DUN Sungai Udang dan perasmian Bilik Gerakan BN DUN Sungai Udang di sini, malam tadi. Turut hadir calon kerusi Parlimen Tangga Batu Datuk Zali Mat Yasin dan calon DUN Pantai Kundor Nor Azman Hassan.



Mengulas lanjut, Idris berkata usaha yang dilaksanakan BN tidak bermusim seperti pihak pembangkang kerana pemimpin serta wakil rakyat BN bukan mengamalkan dasar populis semata-mata untuk meraih undi rakyat.

Sementara itu, mengulas tentang anggota akar umbi BN yang masih kecewa atau panas hati kerana calon mereka tidak terpilih pada PRU14, beliau berkata perkara itu diharap dapat diterima dengan hati terbuka kerana pilihan dilakukan setelah meneliti pelbagai aspek atau kelayakan calon.

"Lagipun, di Melaka ini kita mempunyai lebih kurang 150,000 aktivis politik daripada BN tetapi hanya 34 orang sahaja yang kita perlu pilih sebagai calon untuk mewakili parti pada PRU14," katanya.

Katanya mereka yang tidak terpilih perlu terus bekerja keras kerana peluang untuk mereka mewakili parti pada pilihan raya umum akan datang masih ada dan ia merupakan satu proses berterusan serta panjang.

Menyentuh khabar angin tentang Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM Mohd Rafiq Naizamohideen yang diletakkan sebagai calon DUN Paya Rumput dikatakan ingin menukar kerusi DUN selepas BN meletakkan calonnya iaitu Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, Idris berkata ia terpulang kepada calon pembangkang itu.



Beliau bagaimanapun berkata dia percaya pucuk pimpinan parti pembangkang berkenaan tidak akan sewenang-wenangnya bersetuju dengan tindakan itu kerana keputusan yang telah dibuat bukan perkara yang boleh dipermainkan.

-- BERNAMA