Kayveas letak jawatan Presiden MyPPP




KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Tan Sri M.Kayveas hari ini mengumumkan beliau telah meletak jawatan sebagai presiden MyPPP berkuat kuasa Isnin lepas, setelah menyandang jawatan itu selama lebih dua dekad.

Dalam catatan Facebook beliau hari ini, bekas Anggota Parlimen Taiping itu berkata beliau juga meletak jawatan sebagai penasihat Exco MyPPP Perak dan pengerusi MyPPP Wilayah Persekutuan.

Keputusan itu dibuat hanya dua minggu sebelum berlangsung Pilihan Raya Umum ke-14.

Menurut sumber, langkah itu mungkin berikutan kegagalan parti untuk mendapatkan kerusi Parlimen Cameron Highlands, dengan Ketua Pemuda MIC Datuk C.Sivaraajh dinamakan sebagai calon kerusi parlimen itu.

"Mungkin ada tekanan daripada anggota MyPPP berhubung kegagalan Kayveas mendapatkan kerusi Cameron Highlands walaupun parti itu bekerja keras sejak dua tahun lepas," menurut sumber yang enggan dikenali itu kepada Bernama.

Ahad lepas, Kayveas berkata parti itu tidak merestui keputusan naib presiden Datuk Loga Balan Mohan untuk bertanding di kawasan parlimen Segambut atas tiket Barisan Nasional.

-- BERNAMA