Sebahagian anggota AMK tolak calon PKR Rembau
SEREMBAN, 25 April (Bernama) -- Sekumpulan individu yang mendakwa anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Rembau melahirkan rasa tidak berpuas hati terhadap pemilihan Setiausaha PKR bahagian Roseli Abdul Ghani sebagai calon di Parlimen Rembau, pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.
Zarizal Abd Rahman, 30, yang mendakwa mewakili kumpulan seramai 50 anggota itu berkata calon yang diumumkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Pengerusi PKR Negeri Sembilan Aminuddin Harun malam tadi merupakan calon yang tidak sesuai dan tidak diterima akar umbi.
"Buat masa ini, bantahan kita adalah untuk pucuk pimpinan menukarkan calon Parlimen Rembau. Pemilihan calon juga tidak mendapat persetujuan dan pendapat kebanyakan ahli di Rembau dan saya difahamkan ketua cabang hanya menamakan calon itu (Roseli) sebagai calon tunggal.
"Sebelum ini lagi kami sudah buat bantahan tapi tidak diendahkan. Jadi kami minta supaya calon ini ditukarkan kerana tidak ada kelebihan untuk berlawan dengan Ketua Pemuda UMNO (Khairy Jamaluddin)," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, hari ini.
Zarizal yang juga anggota jawatankuasa AMK Rembau bagaimanapun mendakwa beliau telah dihubungi oleh pucuk pimpinan pusat, 10 pagi tadi, supaya menghentikan sidang media dan bersedia untuk berbincang semula mengenai calon kerusi Parlimen Rembau.
Mengikut daftar pemilih suku tahun keempat 2017, Parlimen Rembau memiliki 88,365 pengundi. Kerusi itu disandang Khairy yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) dan Menteri Belia dan Sukan selama dua penggal sejak 2008.
-- BERNAMA