PCM letak Huan Cheng Guan cabar Lim di Bagan

Sumber gambar: ms wikipedia.org
BUTTERWORTH, 25 April (Bernama) -- Parti Cinta Malaysia (PCM) meletakkan Timbalan Presidennya Datuk Huan Cheng Guan untuk mencabar Ketua Menteri Lim Guan Eng di kerusi Parlimen Bagan pada Pilihan Raya Umum ke-14 ini.
Huan yang mengumumkan sendiri pencalonannya itu, berkata PCM juga akan mencabar Setiausaha Agung DAP tersebut di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih menerusi calonnya R. Manikandan.
"Kami membuat keputusan bertanding di dua kerusi itu memandangkan ada banyak isu dan skandal di Pulau Pinang. Kami akan menumpukan kepada isu banjir dan rumah kos rendah," katanya.
Huan yang mengakui bahawa pertandingan pada pilihan raya kali ini tidak mudah, berkata PCM akan berjuang habis-habisan menentang Lim.
Pada pilihan raya umum lepas, Lim memenangi kerusi Parlimen Bagan dengan majoriti 34,159 undi, menewaskan calon BN-MCA Chua Teik Siang dan Lim Kim Chu (PCM) manakala di DUN Air Putih Lim mengatasi Tan Ken Keong (BN) dengan kelebihan 7,744 undi.
-- BERNAMA