Jabatan Penerangan Kelantan wujud pusat media PRU14




KOTA BHARU, 25 April (Bernama) -- Jabatan Penerangan Kelantan mewujudkan sebuah pusat media untuk kemudahan petugas media cetak dan elektronik negeri ini sepanjang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pusat yang bertempat di Dewan Lido Hotel Grand River View di sini itu dirasmikan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Yahaya Mamat dan dijangka mampu memuatkan kira-kira 50 petugas media.

Yahaya berkata ia akan menjadi lokasi rujukan rasmi petugas media bagi mendapatkan maklumat terkini dan taklimat khusus berhubung PRU14, selain sesi sidang media.

"Ia akan mula dibuka esok hingga hari mengundi pada 9 Mei dan beroperasi mulai lapan pagi hingga 12 tengah malam. Antara kemudahan yang disediakan termasuk komputer, internet, mesin faksimili, mesin pencetak, televisyen dan telefon bagi memudahkan kerja petugas media," katanya selepas merasmikan Pusat Media Kelantan PRU14 Kelantan di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Penerangan Kelantan Azahar Ismail dan Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kelantan Mohd Fadli Mohd Fauzi.

Sementara itu, Yahaya berkata hanya petugas media yang memiliki pas media sah daripada Jabatan Penerangan sahaja yang dibenarkan memasuki pusat media itu.

-- BERNAMA