PRU14: Othman yakin BN pertahan kerusi Parlimen Jerlun, dua DUN
JERLUN, 25 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen Jerlun Datuk Othman Aziz yakin BN dapat mempertahan kerusi Parlimen itu dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh dan Ayer Hitam pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Othman yang juga penyandang kerusi Parlimen itu berkata keyakinan itu berdasarkan kepada petunjuk prestasi utama (KPI) wakil rakyat di kawasan itu yang berjaya melaksanakan lebih 95 peratus aku janji pada PRU13.
"Saya serah balik kepada rakyat. Saya yakin rakyat memahami aspirasi dan inspirasi kami kerana kami orang Jerlun, kami faham masalah Jerlun dan rakyat ada ruang untuk meluahkan isi hati mereka. Kami ada telinga untuk mendengar mereka.
"Inilah kelebihan kami dan insya-Allah kami boleh menang berdasarkan kepada persiapan kami, jentera dan sokongan akar umbi...insya-Allah kami akan menang," katanya kepada pemberita selepas program tanggungjawab korporat 'MOF Bersama Rakyat' yang dirasmikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah, di sini hari ini.
Beliau berkata gandingan beliau bersama dua lagi calon BN Ahmad Azhar Abdullah (Kota Siputeh) dan Datuk Abu Hasan Sarif (Ayer Hitam) mampu meneruskan kesinambungan pembangunan di Jerlun untuk tempoh lima tahun akan datang jika rakyat sekali lagi memberi mandat kepada BN untuk memenangi kerusi di kawasan itu.
"Saya melihat bahawa orang Jerlun ni rata-rata orang luar bandar dan mempunyai isu-isu yang unik dan kronik di Jerlun semata-mata. Jadi, kita memerlukan kepada perkhidmatan sepenuh masa wakil rakyat itu.
"Sebab itulah kalau gandingan antara calon BN ini maka mereka berdua, Ahmad Azhar dan Datuk Abu Hasan akan mampu menyusun dan melaksanakan kerja-kerja harian ini dan saya akan bantu dari segi peruntukan," katanya.
Ditanya mengenai sokongan kaum Cina, Othman yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata kaum Cina yang mewakili tujuh peratus daripada keseluruhan 54,132 pengundi di kawasan itu memberi sokongan kepada BN berdasarkan kepada penyertaan mereka dalam setiap program yang dianjurkan.
Beliau berkata walaupun 92 peratus pengundi di kawasan itu adalah orang Melayu, BN tidak pernah meminggirkan kaum Cina dan India serta Siam di kawasan itu dengan menyalurkan bantuan sama rata tanpa mengira fahaman politik.
Katanya, pihaknya telah menyediakan manifesto BN Parlimen Jerlun untuk PRU14 yang memberi tumpuan berterusan kepada infrastruktur, pendidikan, pembangunan belia dan sukan, pembangunan ekonomi rakyat dan agama.
Pada PRU13, Othman menang dengan majoriti 3,270 undi selepas mengalahkan calon PAS Ismail Salleh dengan memperoleh 24,161 undi.
Di DUN Kota Siputeh, calon BN Datuk Abu Hasan Sarif memperoleh 10,777 undi menewaskan calon PAS Ismail W. Teh@Jaziz yang mendapat 8,539 undi dengan majoriti 2,238 undi.
Di DUN Ayer Hitam pula, Naib Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir yang ketika itu mewakili BN memperoleh 14,083 undi mengalahkan calon PAS Abd Ghani Ahmad yang mendapat 11,637 undi dengan majoriti 2,446 undi.
PRU14 bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru di Parlimen Jerlun antara Othman (BN-UMNO), Mukhriz (PKR-PPBM) dan Abdul Ghani (PAS).
-- BERNAMA