PRU14: PKR bertanding 15 Kerusi, Amanah 6 kerusi di Sarawak
KUCHING, 25 April (Bernama) -- PKR akan bertanding di 15 kerusi Parlimen manakala Parti Amanah Negara (Amanah) di enam kerusi Parlimen di Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Pengumuman senarai calon itu dibuat oleh Pengerusi PKR negeri, Baru Bian dan Setiausaha Amanah negeri Abang Abdul Halil Abang Naili di sebuah hotel di sini petang ini.
Baru yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Ba'kelalan mengumumkan beliau akan bertanding di Parlimen Selangau, manakala Abang Abdul Halil mengumumkan Mohamad Fidzuan akan bertanding di Parlimen Santubong.
Pada majlis yang turut dihadiri Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, Baru turut membuat pengumuman 'mengejutkan' apabila memaklumkan PKR tidak akan bertanding di kerusi Parlimen Julau yang diperuntukkkan kepada parti tersebut.
"Kami mengambil keputusan tidak meletakkan calon di Parlimen Julau kerana kita tahu ada dua 'calon kuat' akan bertanding iaitu seorang calon bebas dan penyandang kerusi daripada Barisan Nasional (Datuk Joseph Salang Gandum).
"Keputusan ini diambil supaya berlaku perlawanan satu lawan satu antara kedua-dua calon tersebut," katanya.
Baru turut mengumumkan Dr Michael Teo Yu Keng akan mempertahankan kerusi Parlimen Miri.
Sebagai rekod PKR Sarawak bertanding di 15 kerusi pada PRU13, namun hanya menang satu kerusi iaitu di Parlimen Miri.
Baru turut memaklumkan parti itu akan meletakkan calon di tiga lagi kerusi iaitu Parlimen Mukah, Sibuti dan Lawas, PKR tidak bertanding di ketiga-tiga kerusi itu pada PRU13.
Daripada enam kerusi Amanah pada pilihan raya kali ini lima dahulunya diperuntukkan kepada PAS, manakala kerusi Parlimen Santubong ditandingi PKR pada PRU13.
--BERNAMA