Kejayaan negara tidak datang bergolek - PM Najib





KUALA LIPIS, 25 April (Bernama) -- Semua pembangunan dan kejayaan negara yang dinikmati rakyat pada hari ini diperoleh hasil kecekapan pengurusan dan pentadbiran kerajaan dan bukannya seperti 'yang pipih datang melayang, yang bulat datang bergolek' seperti anggapan sesetengah pihak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keadaan itu turut dibantu pengukuhan ekonomi negara yang berterusan, sekali gus menjamin kesinambungan setiap agenda dan perancangan kerajaan dapat dilaksana dalam tempoh yang ditetapkan.

Beliau berkata yang lebih penting kerajaan ditunjangi Barisan Nasional (BN), menetapkan pengurusan negara wajib dilakukan secara bertanggungjawab, bukannya dilakukan atas sebab meraih populariti dan undi dalam pilihan raya.

"Kalau kita tidak uruskan negara secara bertanggungjawab, mana mungkin kawasan pedalaman seperti Merapoh dan Kampung Kubang Rusa dapat menikmati kemudahan lebuh raya bertaraf dunia seperti yang ada hari ini.

"Kewujudan kemudahan ini adalah kerana kerajaan mahu melihat setiap pembangunan yang dirancang dan dilaksana wajib bersifat inklusif dan menyentuh semua lapisan masyarakat," katanya ketika berucap merasmikan pembukaan 'Central Spine Road' (CSR) laluan Merapoh ke Kampung Kubang Rusa, Lipis di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata jika benar Malaysia adalah sebuah negara gagal seperti dakwaan segelintir pihak, mana mungkin kemudahan lebuh raya sepanjang 14 kilometer (km) bernilai RM140.697 juta itu dapat dibangunkan, malah siap dalam tempoh lebih awal.

Keadaan itu juga, katanya sekali gus telah menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM35 juta berdasarkan nilai asal projek sebanyak RM176. 250 juta.

Sambil membandingkan corak pengurusan pembangkang sepertimana yang diutarakan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), antaranya menghapuskan semua tol dalam tempoh 100 hari pemerintahan, Najib berkata itu jelas mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab pembangkang kerana jika dilaksanakan hutang negara boleh meningkat sehingga RM1 trilion dalam tempoh itu.

"Sekarang hutang negara adalah sebanyak RM680 bilion atau 50.8 daripada KDNK negara dan jika ditambah RM380 bilion akibat pemansuhan tol, hutang kita boleh mencecah RM1 trilion dan keadaan itu kesan buruk pada negara dan generasi akan datang.

"Ini dasar tidak bertanggungjawab dan sebab itu tidak ada badan antarabangsa yang memberi pujian ke atas manifesto pembangkang berbanding pengiktirafan luar yang diterima selepas manifesto BN di lancarkan," katanya.

Najib berkata rakyat tidak perlu termakan dengan janji palsu tersebut kerana selain tidak boleh dilaksanakan, janji itu juga adalah pelik kerana dibuat oleh seseorang yang saya sifatkan 'bapa segala tol' yang kini berjanji menghapuskan apa yang diwujudkannya sendiri sejak sekian lama.

Mengenai laluan Merapoh-Kampung Kubang Rusa, Najib berkata pembukaan laluan lebuh raya empat lorong dua hala itu menjadikan keseluruhan projek SCR sejauh 350km bermula dari Kuala Krai, Kelantan ke Simpang Pelangai, Pahang dengan kos keseluruhan RM6.6 bilion kini telah mencapai 45 peratus untuk disiapkan sepenuhnya.

Beliau turut memuji kualiti pembinaan projek itu yang disifatkan setaraf lebuh raya di Switzerland dan Jerman dengan mengadaptasi teknologi terkini, antaranya anti mendapan dalam tempoh yang lama.

Malah, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga mewujudkan jejambat yang ditinggikan, bernilai RM40 juta khusus bagi memastikan laluan hidupan liar di kawasan itu tidak terjejas dengan pembinaan lebuhraya itu, katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib yang juga Pengerusi BN turut memaklumkan bahawa senarai calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang telah dimuktamadkan dan diserahkan kepada Menteri Besar untuk diumumkan esok.

-- BERNAMA