Pendidikan, keusahawanan, perumahan Orang Asli fokus BN Melaka - Idris
ALOR GAJAH, 25 April (Bernama) -- Pendidikan, keusahawanan dan perumahan merupakan fokus Barisan Nasional (BN) Melaka dalam usaha menaik taraf kehidupan Orang Asli agar setanding dengan kaum lain di negeri ini, kata Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Idris Haron.
Idris yang juga Ketua Menteri Melaka berkata kerajaan sentiasa prihatin dan mendengar keperluan rakyat tanpa mengira etnik dan fahaman politik, sekali gus berusaha untuk meningkatkan tahap status sosial masyarakat Orang Asli tanpa meminggirkan mereka daripada arus kemodenan semasa.
"BN Melaka akan pastikan anak-anak Orang Asli di negeri ini mendapat pendidikan secukupnya kerana mereka juga merupakan pemimpin masa depan, kita juga akan menyediakan program keusahawanan bagi menggalakkan anak-anak muda Orang Asli terlibat dalam aktiviti keusahawanan.
"Kerajaan turut membaiki atau menaik taraf rumah Orang Asli di negeri ini agar anak-anak mereka dapat belajar dalam suasana yang lebih bersemangat dan selesa," katanya ketika berucap merasmikan program Menghubung Menyatu Masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Tebong Stesen, Machap di sini, hari ini.
Turut hadir Exco Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Melaka Datuk Lai Meng Chong, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Sembilan dan Melaka Haslin Abdul Razak dan Tok Batin Kampung Orang Asli Tebong Stesen Besi Dulah.
Pada majlis itu, Idris turut mengumumkan peruntukan kepada masyarakat Orang Asli Tebong Stesen sebanyak RM100,000 bagi membaik pulih kira-kira 20 rumah dan RM3,000 lagi untuk masyarakat berkenaan melaksanakan pelbagai program melibatkan penduduk di kawasan tersebut.
Sementara itu, ketika menghadiri perjumpaan bersama anggota persatuan bekas anggota KEMAS (PBAKM) Melaka di pejabat UMNO bahagian Bukit Katil dekat sini, Idris berkata kaedah kempen politik secara konvensional masih relevan dipraktikkan meskipun perkembangan teknologi kini yang tertumpu kepada media baharu.
Beliau berkata kaedah komunikasi bersemuka dilihat lebih berkesan terutamanya dalam memberi penjelasan mengenai sesuatu perkara di samping mengelakkan pengaruh dakyah yang disebarkan oleh pihak tertentu menular dalam kalangan masyarakat.
"Melalui kaedah ini, secara tidak langsung, pemimpin dan rakyat dapat menjalin hubungan baik serta kerjasama erat tanpa mengira kaum bagi membantu calon dan meraih sokongan sekali gus meningkatkan tahap keyakinan pengundi.
"Justeru itu, kita tetap menggunakan kaedah konvensional dengan 'turun padang' untuk bersemuka dengan rakyat tanpa menafikan kepantasan penggunaan media baharu termasuk laman sosial." katanya.
-- BERNAMA