Pemecatan Kayveas tidak jejas BN




IPOH, 25 April (Bernama) -- Pemecatan Presiden MyPPP Tan Sri M Kayveas tidak akan menjejaskan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) khususnya di kerusi tumpuan MyPPP.

Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata mungkin terdapat masalah dalaman parti yang menyebabkan anggota MyPPP berasa kurang berpuas hati dengan tindak-tanduk beliau.

"Kesannya adalah kepada segelintir penyokong itu sendiri dan MIC, sebagai parti komponen BN, mungkin kita boleh berkhidmat di kawasan masyarakat India yang menjadi tumpuan MyPPP," katanya pada satu sidang media di Pejabat MIC Bahagian Ipoh Barat di sini, hari ini.

Dalam satu hantaran di Twitter, bekas anggota Parlimen Taiping itu mengumumkan peletakan jawatannya sebagai presiden MyPPP, Pengerusi MyPPP Wilayah Persekutuan dan penasihat kerajaan Perak.

Bagaimanapun, dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, Majlis Tertinggi MyPPP tampil menjelaskan bahawa Kayveas sebenarnya dipecat sebagai presiden berikutan tindakannya menyalahgunakan parti untuk agenda peribadi.

Setakat ini, naib presiden MyPPP, Datuk Loga Balan Mohan akan bertanding di kerusi parlimen Segambut.

Pada PRU-13, MyPPP bertanding di satu kerusi Parlimen iaitu Kepong (Kuala Lumpur) dan empat kerusi DUN iaitu Kota Laksamana (Melaka), Kota Alam Shah (Selangor), Pasir Bedamar (Perak) dan Manik Urai (Kelantan).

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata MIC mempunyai keyakinan utuh untuk membaiki pencapaiannya dalam PRU14 pada 9 Mei ini.

"MIC mempunyai sokongan masyarakat yang lebih jika dibandingkan dengan dulu. Sokongan yang ditunjukkan kali ini menyemarakkan semangat semua calon yang akan bertanding," katanya.

Pada PRU14, MIC akan bertanding di sembilan kerusi Parlimen dan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketika ditanya sama ada undi masyarakat India di Hutan Melintang akan terjejas berikutan kerusi itu akan ditandingi oleh calon UMNO Datuk Khairuddin Tarmizi, Dr Subramaniam berkata calon tersebut perlu mempunyai agenda inklusif bagi masyarakat India di sana.

"Ini bagi mengambil hati masyarakat sana dan pada pendirian saya kami tidak memberi Hutan Melintang sepenuhnya kepada UMNO, sudah tentu pada pilihan raya lain selepas ini kami akan memintanya balik," katanya.

-- BERNAMA