PRU14: Hati-hati pasang bahan kempen di pepasangan elektrik




PUTRAJAYA, 25 April (Bernama) -- Suruhanjaya Tenaga (ST) menasihati orang ramai agar mengutamakan keselamatan dan berhati-hati akan bahaya elektrik ketika berkempen untuk parti politik masing-masing menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dalam kenyataan hari ini, ST berkata nasihat itu diberikan berikutan terdapat kes kemalangan renjatan elektrik yang berlaku kepada empat orang awam ketika sedang memasang tiang bendera parti di Muar, Johor.

ST berkata bagi mengelakkan risiko kemalangan elektrik, elakkan aktiviti seperti menggantung bahan kempen di tiang-tiang elektrik, menampal poster pada pencawang elektrik, mendirikan tiang atau objek tinggi berdekatan atau di bawah talian elektrik dan memanjat menara atau tiang elektrik.

ST menyatakan aktiviti berhampiran pepasangan elektrik boleh menyebabkan renjatan elektrik atau percikan arka dan menyalahi peruntukan Seksyen 37(12), Akta Bekalan Elektrik 1990.

Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan, katanya.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi ST di talian 03-8870 8678/03-8870 8610.

-- BERNAMA