Jangan mudah percaya mesej tular burukkan petugas pilihan raya

PUTRAJAYA, 25 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan pengundi agar tidak terpengaruh dan percaya dengan mesej-mesej tular yang memberi maklumat salah bagi mengelirukan serta menimbulkan persepsi negatif terhadap petugas pilihan raya.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata orang ramai disaran supaya merujuk terus kepada pihak SPR untuk penjelasan maklumat yang tepat berhubung sebarang maklumat yang tidak pasti kesahihannya.
Katanya pihak SPR menganggap penularan mesej-mesej dalam bentuk teks, visual dan video tersebut oleh pihak tertentu itu sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan berniat untuk mengelirukan pengundi dan menimbulkan prejudis terhadap SPR.
"Dalam hal ini, SPR akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) jika didapati penyebaran mesej tersebut palsu dan tidak benar," katanya.
Antara mesej-mesej yang ditularkan di media sosial seperti visual kaedah penandaan kertas undi yang dijalankan oleh institusi yang tidak berkaitan dengan SPR, klip video kononnya kertas undi dibawa keluar oleh petugas dari balai polis tanpa kebenaran, klip video warga asing menaiki bas yang disyaki sebagai pengundi hantu, teks berkaitan kertas undi mempunyai titik hitam, pautan semakan daftar pemilih yang bertujuan mencuri data peribadi, kaedah pengundian yang dimanipulasi dan sebagainya yang disifatkan sebagai berita tidak benar dan bertujuan mengelirukan orang ramai.
"Untuk makluman, petugas pilihan raya adalah terdiri daripada orang awam sentiasa menjalankan tugas mereka dengan profesional, telus dan adil dengan disaksikan oleh wakil-wakil calon yang dilantik oleh calon atau parti politik yang bertanding semasa proses pengundian dijalankan di saluran mengundi."
"Oleh yang demikian, pengundi tidak perlu khuatir terhadap cubaan manipulasi atau penipuan seperti yang ditularkan itu," katanya.
-- BERNAMA