Bertenang, berfikir dan amalkan sikap rasional - Tengku Adnan




Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (lima, kiri) bergambar bersama sebahagian penerima Kunci Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) Residensi Pandanmas 2 di Kampung Pandan hari ini. Turut hadir Menteri Kewangan II yang juga calon Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- "Jangan menentang institusi, parti kita mempunyai strukturnya... bertenang, amalkan sikap rasional dan berfikirlah, ada sebabnya seseorang itu tidak dipilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)."

Demikian kata-kata nasihat daripada setiausaha agung Barisan National (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kepada mereka yang ingin mengambil tindakan sendiri atau merancang untuk melakukan sabotaj terhadap parti gabungan itu kerana tidak dipilih menjadi calon.

Beliau berkata anggota parti perlu menghormati apa jua keputusan yang dibuat kepimpinan parti.

"Apabila sekali-sekala anda digugurkan, pertama sekali, anda perlu mencari sebab kenapa anda digugurkan."

"Jika anda tidak mengikut arahan, mematuhi perlembagaan dan etika parti, saya akan ambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kunci unit Residensi dan Pangsapuri Pandanmas 2 yang dibina melalui Skim Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) kepada lebih 1,000 pembeli di sini hari ini.

Tengku Adnan berkata BN sedang memantau setiap kawasan bagi mengesan sebarang unsur sabotaj terhadap parti gabungan itu serta calonnya yang akan bertanding pada PRU14 dan mereka yang didapati berbuat demikian akan hilang kedudukan sebagai anggota parti itu dengan serta-merta.

Begitu juga halnya dengan mereka yang ingin bertanding sebagai calon bebas, kata beliau.

Diminta mengulas tentang tindakan presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas meninggalkan parti itu,Tengku Adnan berkata terdapat banyak anggota MyPPP yang mampu mengurus parti itu.

"Mereka mempunyai hampir 300,000 anggota dan lebih 200,000 pengundinya ingin terus kekal sebagai anggota parti komponen Barisan Nasional (BN), itulah apa yang dimaklumkan kepada saya."

"Kami tidak mahu ada mana-mana parti komponen yang ingin melemahkan BN," katanya.

Melalui catatan di laman Facebook dan akaun Twitternya, Kayveas berkata beliau melepaskan jawatan presiden parti itu serta pengerusi MyPPP Kuala Lumpur dan jawatan penasihat Exco MyPPP Perak berkuat kuasa Isnin (23 April).

Bagaimanapun, setiausaha agung MYPPP Mohan Kandasamy mendakwa Kayveas dipecat daripada parti itu oleh majlis tertinggi MyPPP.

-- BERNAMA